Segera siasat DAP! – Pemuda PAS Perak


(Harakah) – Dewan Pemuda PAS Negeri Perak tampil membuat laporan polis berkaitan pendedahan mantan Setiausaha Sulit Ketua Menteri Pulau Pinang yang mendakwa DAP mengambil wang RM300 juta daripada Israel.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri berkata, laporan rasmi itu bagi membolehkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kes dan menjalankan siasatan berkaitan aduan dan dakwaan bahawa parti DAP ada menerima dana asing.

“Hal berkenaan dipercayai berlaku secara sulit dan menyalahi integriti dan undang-undang serta mempunyai tujuan politik yang boleh mendatangkan masalah kepada keselamatan negara,” tegas beliau.

Laporan tersebut dibuat dengan turut dihadiri oleh Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Perak serta beberapa wakil dari ahli PAS berdekatan di Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini kira-kira jam 12 tengahari tadi.

Beliau juga menyatakan bekas Pegawai TUDM, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff pernah membuat laporan polis terhadap pengasas MalaysiaKini, Premesh Chandran dan Red Bean Army DAP dengan dakwaan menerima dana yang disalurkan oleh Open Society Foundations (OSF) milik George Soros.

Beliau berharap pihak PDRM mengambil tindakan segera dan menegaskan supaya pihak berkuasa berlaku adil tidak hanya menyiasat PAS kononnya menerima dana daripada Umno sebanyak RM90 juta, tetapi mengabaikan bila berkait parti dari pihak pemerintah.

 



Comments
Loading...