Anwar jangka jadi PM tidak sampai 2 tahun lagi


(Bloomberg) – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan beliau mengambil alih jawatan perdana menteri kurang dari 2 tahun lagi tetapi mahu memberi masa cukup kepada Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir secara berkesan.

“Tentunya bukan 5 tahun kerana beliau telah nyatakan dengan jelas ia tidak akan melebihi 2 tahun,” kata presiden PKR itu dalam temu ramah dengan Telivisyen Bloomberg di New York, semalam.

“Tetapi, adalah penting membenarkan beliau mentadbir secara berkesan kerana kami dalam keadaan rumit dan mencabar,” katanya.

Dr Mahathir telah berjanji ketika kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, beliau akan menyerahkan jawatan nombor satu itu kepada Anwar sebaik sahaja Anwar mendapat keampunan.

Keampunan tersebut diberi hanya seminggu selepas Pakatan Harapan (PH) membuat kejutan, memenangi PRU14 pada 9 Mei.

Dr Mahathir yang berusia 93 tahun itu menangguhkan kepada 2 tahun. Anwar menerimanya, dengan mengatakan beliau ingin menjelajah dan meluangkan masa dengan keluarga selepas lebih 3 tahun dalam penjara.

Kemenangan PH telah mewujudkan kesatuan dalam kalangan rakyat yang memberikan peluang kepada Dr Mahathir memerangi rasuah dan skandal 1MDB.

Kemunculan Dr Mahathir bersama Anwar di khalayak menamatkan permusuhan yang bertahun-tahun antara keduanya.

Dr Mahathir memecat Anwar sebagai timbalannya pada 1998 akibat pertikaian mengenai bagaimana berhadapan dengan krisis kewangan Asia.

Anwar kemudian dipenjarakan kerana liwat dan menyalah guna kuasa, yang beliau nafikan. Beliau kemudian dikenakan penjara sekali lagi kerana liwat.

Anwar mengatakan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya itu bermotif politik.

Anwar mempamerkan tanda-tanda tidak sabar. Walaupun beliau berkata akan menjauhkan diri daripada politik selama setahun, beliau kembali berkempen untuk kerusi Parlimen hanya 5 bulan selepas dibebaskan dari penjara.

Beliau kemudian diberi tempat dalam lingkungan teratas majlis tertinggi PH, walaupun tidak memegang jawatan Kabinet. Beliau juga menjadi pengerusi badan reformasi dan pentadbiran peringkat Parlimen.

Mengenai skandal 1MDB, Anwar berkata Malaysia “tidak akan kompromi” dengan perbincangan dengan Goldman Sachs Group Inc dan bank tersebut “mesti ambil tanggungjawab”.

Negara ini mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan sebarang jenayah yang mungkin dilakukan bank tersebut, kata Anwar.

Katanya, beliau tidak pasti Malaysia boleh dapat AS$7.5 bilion dari Goldman sebagai pampasan daripada skandal tersebut. Malaysia fail pertuduhan jenayah terhadap bank itu Disember lalu.

Unit-unit bank itu dituduh membuat kenyataan palsu dalam dokumen yang diserahkan kepada penyelaras tempatan dalam membuat tawaran bon AS$6.5 bilion untuk 1MDB.

Pegawai Goldman berkata, bank itu mengumpulkan wang untuk 1MDB tanpa mengetahui ia akan diselewengkan dan ia bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Anwar berkata tidak mungkin personaliti di peringkat tinggi Goldman Sachs tidak menyedarinya.

Menurutnya, Malaysia kini mempunyai perlindungan cukup ke atas sektor bank tetapi mengingatkan tentang sebarang sikap selesa.

“Macam mana ketat pun perlindungan, jika anda mempunyai orang jahat mengendalikan sistem tersebut, mereka masih boleh menyeleweng,” katanya.

Bulan lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu pemberita, Malaysia mungkin menimbangkan perbincangan untuk menggugurkan pertuduhan sekiranya Goldman Sachs membayar pampasan.

Tuduhan terhadap Goldman difailkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas selaku pendakwa tertinggi di negara ini dan menteri kewangan tidak diberi kuasa secara rasmi untuk membuat keputusan mengenai pertuduhan jenayah.

Goldman berkata, ia akan menunda pemberian tunai jangka panjang yang diberikan Januarti 2011 kepada 3 eksekutif yang sudah bersara sehingga mendapat lebih banyak maklumat mengenai 1MDB.

Bekas pegawai kanan bank itu, Tim Leissner, telah mengaku salah ke atas beberapa tuduhan, termasuk berkonspirasi untuk memindahkan wang haram, sementara seorang lagi kakitangannya, Roger Ng, berada dalam tahanan di Malaysia, memandangkan dia menghadapi ekstradisi ke Amerika Syarikat bagi berhadapan dengan pertuduhan-pertuduhan berkaitan.

 



Comments
Loading...