Dakwaan DAP menerima dana asing serius, perlu disiasat segera


(Utusan) – Dakwaan bahawa DAP pernah menerima dana asing termasuk dari Israel adalah tuduhan yang serius kerana membabitkan keselamatan negara dan pihak berkuasa perlu segera menyiasat perkara tersebut.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan terhadap Pas berhubung dakwaan menerima wang RM90 juta, perkara sama perlu dibuat terhadap DAP.

Kata beliau, langkah Pemuda Pas membuat laporan polis berhubung kes itu di seluruh negara hari ini adalah tepat dan pihak berkuasa diharap dapat memberi perhatian sewajarnya terhadap laporan mereka demi kebaikan semua pihak.

“Apabila ada dakwaan bahawa DAP menerima sumbangan RM1.2 bilion dari Israel, pada pandangan saya, ini lebih serius lagi sebab Malaysia tidak pernah ada hubungan diplomatik dengan Israel.

“Kalau dakwaan ini betul-betul berlaku, ia benda besar yang ada kesan dari segi keselamatan dan kedudukan negara. Sebab itu eloklah Pemuda Pas buat laporan polis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan, di sini hari ini.

Terdahulu pagi ini, Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi menemani seorang ahli parti, Mohd, Suhaizi Kadir membuat laporan terhadap DAP berhubung perkara tersebut.

Ahmad Fadhli berkata, Pemuda Pas hari ini tampil membuat laporan polis berhubung perkara sama di seluruh negara dan sehubungan itu, siasatan terhadap DAP perlu dibuat segera lebih-lebih lagi parti itu kini sebahagian daripada parti pemerintah negara.

Mengenai pengumuman calon oleh parti-parti yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Mohd. Amar berkata, Pas secara asasnya menyokong calon parti pembangkang, namun pendirian rasmi akan dibuat selepas calon-calon tersebut diumumkan esok.

“Kita tengok keadaan esok dulu, parti akan buat keputusan dan setakat ini belum ada pendirian rasmi sebab kita kena ambil kira beberapa perkara seperti siapa calon itu serta perkembangan politik semasa ” katanya.

Ditanya tentang isu rakaman audio yang diakui suara Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Mohd. Amar berkata, beliau tidak boleh mengulas perkara itu kerana tidak menghadiri mesyuarat Pas Pusat pada 11 Februari lalu.

 



Comments
Loading...