PAS: Ambiga pun jangan biar terlepas


(Utusan) – PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat bekas Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga yang menjadi sumber berita Sarawak Report bahawa parti itu menerima dana RM90 juta disyaki daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia berdasarkan kenyataan daripada editor Sarawak Report sendiri, Clare Rewcastle Brown yang mendakwa mendapat maklumat mengenai sogokan Najib kepada pemimpin-pemimpin Pas daripada Ambiga.

Beliau berkata, Pas sendiri sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan pihak berkuasa lain dan menganggap tuduhan RM90 juta adalah tidak lain daripada berniat memburukkan parti itu dan pemimpinnya sahaja.

“SPRM sepatutnya siasat Ambiga dari mana ambil maklumat dan dia perlu beri bukti kepada SPRM jika betul.

“Jangan biar Ambiga dilepaskan, sebab Clare jelas bagitahu sumbernya adalah Ambiga, kami sendiri tiada masalah disiasat agar perkara ini lebih terang,” katanya selepas menyampaikan kuliah pagi di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyokong tindakan Ketua Kumpulan Penggerak The Third Force, Raggie Jessy Rithaudeen yang membuat laporan kepada SPRM semalam supaya badan itu turut menyiasat Ambiga berkenaan dakwaan sogokan Najib kepada Pas.

 



Comments
Loading...