Muhyiddin tolak dakwaan Dr M tidak yakin kemenangan Manogaran di Cameron Highlands


(FMT) – Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menepis dakwaan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak yakin dengan kemenangan calonnya, M Manogaran dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Sabtu ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir akan tetap turun berkempen hari ini dan menganggap pilihan raya kecil itu penting bagi PH.

“Biasanya perdana menteri tak pergi kempen kecil seperti ini, tapi kerana dia fikir ini adalah PRK yang penting dan kita bertanding di sini, tentu masyarakat serta pengundi di sini mahu dengar mesej Tun sebagai perdana menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas salat Maghrib dan Isyak di Masjid Sungai Koyan di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Dr Mahathir tidak yakin dengan kemenangan Manogaran dari DAP disebabkan jadual perdana menteri yang tidak banyak meluangkan masa dalam kempen PRK itu.

Mengikut jadual, Dr Mahathir hanya akan berada di sini dari jam 11 pagi hingga 2 petang hari ini, iaitu dalam majlis perjumpaan bersama warga Sungai Koyan di Dataran Sungai Koyan 1 dan kemudiannya mengakhiri dengan salat Jumaat di Masjid Al-Muhajirin.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh bahawa ada Tok Batin di kampung Orang Asli “diculik” pihak tertentu sehingga menyukarkan PH turun berkempen di kawasan petempatan mereka, Muhyiddin berkata, siasatan tidak dapat dilakukan berhubung dakwaan itu memandangkan tiada sebarang laporan polis dibuat mengenainya.

“Dalam masa kempen ni macam-macam perkara boleh terjadi. Tapi kalau tak ada bukti dan tak ada asas atau pun tiada laporan dibuat kepada pihak berkuasa, polis ke siapa, siasatan tak boleh dilakukan. Jadi kita tak tahu apa keadaan sebenar,” katanya, yang juga menteri dalam negeri.



Comments
Loading...