Kempen memburukkan Raja-Raja sudah bermula


Keputusan beliau bagaikan menjolok sarang tebuan dan sekarang sekali lagi beliau mahu mengganggu-gugat banteng pertahanan terakhir orang Melayu dan Islam melalui kempen negatif terhadap institusi diraja.

Firdaus Muhammad

Sudah banyak spekulasi berkeliaran berkenaan isu peletakan jawatan YDPA dan pelantikan YDPA yang baru. Macam-macam teori yang dikongsi oleh netizen, lebih-lebih lagi berkenaan tindakan Tun Mahathir untuk mencampuri urusan Majlis Raja-Raja dalam memilih YDPA yang baru.

Mengikut senarai pemilihan, Sultan Pahang layak menjadi YDPA seterusnya diikuti oleh Sultan Johor dan Sultan Perak. Namun terdapat berita yang mengkhabarkan bahawa Sultan Pahang tidak berminat untuk menjadi YDPA dan tentunya nama Sultan Johor sebagai YDPA menggerunkan Tun Mahathir.

Atas sebab inilah, Tun Mahathir telah berkongsi satu peringatan kepada raja-raja bahawa mereka tidak akan terkecuali daripada pelaksanaan undang-undang melalui blog bertajuk “Rule of Law” yang secara jelas, berat dengan ugutan terhadap raja-raja.

Prinsip ‘Rule of Law’ memang wajar ditegakkan tanpa pengecualian. Namun dalam konteks sekarang, prinsip ini bagaikan diguna hanya untuk tujuan politik dan tidaklah ikhlas untuk menegakkan undang-undang.

Contohnya, di manakah prinsip ‘rule of law’ dalam kes rasuah Lim Guan Eng? Kes yang ternyata jelas wujud elemen salah laku telah digugurkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas yang dipilih oleh Tun Mahathir. Kes tersebut sepatutnya diteruskan agar Lim Guan Eng dapat bersihkan nama beliau jika tidak bersalah bukan diselamatkan dengan cara mudah melalui pengguguran kes.

Di manakah juga prinsip ‘rule of law’ dalam kes kematian anggota bomba Arwah Adib? Rusuhan kuil yang telah bertukar menjadi rusuhan perkauman kerana diapi-apikan oleh ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab telah mengorbankan nyawa seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas. Hingga hari ini, masih tiada berita keadilan akan ditegakkan. Dalam kes yang sama, prinsip ‘rule of law’ turut dibelakangkan apabila keputusan mahkamah dengan sesuka hati telah dihiraukan oleh kerajaan apabila kuil haram tersebut ingkar untuk berpindah walaupun wang pampasan telah diambil.

Begitu juga dengan peristiwa berdarah Memali. Di manakah prinsip ‘rule of law’? Sehingga kini ramai masih tertanya-tanya kenapa begitu ramai anggota keselamatan dikerah untuk menangkap seorang Ibrahim Libya? Pemimpin Pakatan Harapan yang dahulu memperjuangkan pembentukan Suruhanjaya Diraja untuk mencari kebenaran sekarang diam membisu apabila sudah berkuasa.

Apa sebenarnya nilai prinsip ‘rule of law’ bagi Kerajaan Pakatan Harapan? Bukti-bukti yang disenaraikan secara terang menunjukkan bahawa Tun Mahathir dan kerajaannya amat hipokrit dalam menegakkan dan serta menghormati undang-undang. Mereka bukanlah malaikat seperti yang mereka ingin tonjolkan.

Lebih penting lagi, perkongsian blog ‘Rule of Law’ ini adalah satu permulaan rasmi kempen media memburukkan raja-raja oleh Tun Mahathir walaupun sebelum ini penasihat kanan beliau A Kadir Jasin telah pun secara tidak rasmi memulakan kempen memburukkan YDPA.

Ini bukanlah perkara baru tetapi satu modus operandi yang sama digunakan oleh Tun Mahathir ketika krisis Perlembagaan untuk mengekang kuasa raja-raja pada tahun 1992-1993. Ketika itu, akhbar-akhbar yang dikawal Tun Mahathir telah menerbitkan pelbagai cerita yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap institusi diraja. Terdapat juga fitnah-fitnah yang telah disuap kepada rakyat supaya dapat memberi justifikasi kepada tindakan Tun Mahathir ketika itu.

Contohnya kisah Prebet Adam yang memberi gambaran bahawa raja zalim harus ditentang. Media telah mengeluarkan kenyataan kononnya prebet Adam mengamuk apabila mendapat tahu adik beliau dibunuh oleh Sultan Johor ketika itu. Sedangkan Prebet Adam tiada adik lelaki dan hanya ada adik perempuan yang meninggal dunia ketika berumur 2 tahun dalam tragedi rumah terbakar. Menurut perkongsian Tunku Makhota Johor, Prebet Adam telah dipaksa untuk mengaku mengamuk kerana Sultan Johor ketika itu telah membunuh adiknya. Lebih memeranjatkan, keluarga Prebet Adam sendiri telah memohon maaf kepada keluarga Diraja Johor kerana terpalit dengan fitnah tersebut dan menjelaskan bahawa kejadian mengamuk tersebut berlaku kerana Prebet Adam menghadapi masalah di tempat kerja.

Sejarah mengajar kita untuk tidak mudah terpedaya. Jika dulu kita bergantung kepada maklumat daripada akhbar utama yang dikawal kerajaan, kini kita mempunyai alternatif untuk mengesahkan maklumat tersebut melalui internet yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan.

Tun Mahathir bagaikan tidak belajar daripada protes ICERD. Orang Melayu telah bersatu apabila beliau mengumumkan Malaysia akan ratifikasi ICERD di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Keputusan beliau bagaikan menjolok sarang tebuan dan sekarang sekali lagi beliau mahu mengganggu-gugat banteng pertahanan terakhir orang Melayu dan Islam melalui kempen negatif terhadap institusi diraja.

Insaflah Tun Mahathir.



Comments
Loading...