Janji atau tidak, Anwar hadapi satu lagi halangan ke Putrajaya, kata peguam


(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin telah menjanjikan jawatan tertinggi negara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi ia tidak mengikat atau boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang, kata seorang peguam perlembagaan, selepas perdana menteri itu megulangi komitmennya untuk mematuhi perjanjian yang dipersetujui parti komponen Pakatan Harapan.

R Kengadharan berkata, presiden PKR itu masih memerlukan sokongan 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, sebelum Yang di-Pertuan Agong boleh melantik beliau ke jawatan tersebut.

“Ini bukan kes janji untuk berkahwin yang membolehkan pihak yang terkilan mendapatkan remedi undang-undang di mahkamah bagi menuntut kerugian sekiranya berlaku keingkaran,” Kengadharan memberitahu FMT.

“Janji (untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar) tidak boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang melainkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dipenuhi,” katanya.

Dr Mahathir, yang memecat Anwar pada 1998 sekali gus mencetuskan gerakan Reformasi, berdamai dengan bekas timbalan dan anak didiknya itu pada 2016, dan secara bersama-sama menubuhkan sebuah gabungan politik yang berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum Mei lepas.

Dalam satu perjanjian yang dipersetujui pimpinan Pakatan Harapan (PH), Anwar yang memenangi pilihan raya kecil Port Dickson dengan meyakinkan sebagai petanda kembalinya beliau ke arena politik aktif, akan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam tempoh 2 tahun.

PH yang dianggotai oleh PPBM, PKR, DAP dan Amanah bersetuju untuk melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri untuk tempoh sementara itu.

Isu ini dibangkitkan semula pada perhimpunan tahunan PPBM semalam, apabila seorang perwakilan dari Kelantan mencadangkan supaya Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri selama 5 tahun sehingga pilihan raya umum ke-15 diadakan.

Dr Mahathir menolak cadangan tersebut dengan berkata bahawa beliau akan akur kepada garis masa 2 tahun itu.

“Saya berjanji, saya akan tunaikannya. Sesetengah orang beranggapan tempoh (2 tahun) itu terlalu pendek.

“Tetapi itu pandangan dan pendapat mereka,” katanya.

Kengadharan berkata, walaupun janji itu dibuat, namun Anwar perlu memenuhi kehendak Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum beliau boleh menjadi perdana menteri.

Peruntukan perlembagaan itu menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik seorang perdana menteri yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Beliau berkata, dari segi undang-undang, Ahli Parlimen memutuskan individu yang akan menjadi perdana menteri walaupun pengundi memilih calon yang bertanding mewakili sesebuah parti politik.

“Sekiranya berlaku kekosongan jawatan atas sebab kematian atau peletakan jawatan, pengundi masih boleh menzahirkan sokongan melalui Ahli Parlimen mereka berhubung individu yang bakal menjadi perdana menteri selepas itu.

 



Comments
Loading...