Menurut Perdana Menteri, beliau sedia dituduh rasis kerana pendedahan nasib bangsanya sendiri yang dilihat telah merosot dalam tempoh berkenaan.

Malah, beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia namanya diburukkan asalkan bangsa Melayu sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan.

“Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain.

“Pemulihan berada di tangan kita. Usaha yang diperlukan tidak begitu besar. InsyaAllah akan terhasillah pengorbanan kita.

“Itulah pesanan saya. Peluang menyampaikan ucapan seperti ini di tahun hadapan mungkin ada, mungkin tidak.

“Justeru, peluang ini tidak boleh dileoaskan. Diharap bangsaku akan tolak budaya lama dan cipta budaya baharu, budaya yang tetap akan menyelamatkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini malam ini.

Menurut Dr. Mahathir, hanya bangsa Melayu yang boleh menyelamatkan diri sendiri kerana mereka mempunyai kebolehan untuk mencapai kejayaan.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli Bersatu bahawa matlamat mereka bersidang adalah untuk memulihkan maruah bangsa.

“Inilah tujuan kita berpolitik. Bukan kerana nak jadi Perdana Menteri atau Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri.

“Kita berpolitik supaya kita tidak lagi akan bergantung kepada politik. Kita berpolitik untuk menyelamat dan membebaskan kita melalui kejayaan sebagai satu bangsa yang mampu bersaing dengan sesiapa sahaja, tiap seorang daripada kita berdaya tahan sendiri tanpa bertongkat.

“Untuk perjuangan yang mulia ini, berkorbanlah apa sahaja. Hasil pengorbanan kita akan dihargai oleh anak cucu kita.

“Akan berkatalah mereka, jika tidak kerana pengorbanan kita, maka akan tertinggallah mereka di pinggir hutan, miskin papa di tanah air sendiri,” katanya.