Fahmi kini bergelar Datuk
(SH) : Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk.
Perkembangan itu dikongsikan Jabatan Penerangan Malaysia menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Jumaat.
“Setinggi-tinggi tahniah daripada seluruh warga Jabatan Penerangan Malaysia diucapkan kepada Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil atas pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) membawa gelaran Datuk oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 7 Mac 2025,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen laman media sosial rasmi jabatan itu mendapati rata-rata wargamaya menzahirkan ucapan tahniah kepada Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai atas pengurniaan darjah berkenaan.
Sebelum berkecimpung dalam arena politik, beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia daripada Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat bergiat aktif dalam seni kreatif dan persembahan sebagai penulis dan pelakon teater.
Fahmi turut dilantik sebagai jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan memulakan karier politik dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2010.
Pada awal pembabitannya, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Nurul Izzah Anwar yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR dari 2010 hingga 2013.
Muncul sebagai tokoh pemimpin muda berpotensi besar dalam PKR, Fahmi mengejutkan ramai pihak pada kemunculan pertamanya dalam pilihan raya apabila menewaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di kerusi Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sumber:Sinarharian