Penjara 7 tahun, dua sebatan untuk Syed Saddiq munasabah dan berpatutan – Hakim


Adalah tidak munasabah bagi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai pemimpin sayap parti politik, tidak mengetahui pengeluaran RM1 juta daripada akaun ARMADA BERSATU, kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid.

(BH) – Beliau berkata, penafian Syed Saddiq bahawa beliau mempunyai pengetahuan mengenai penyimpanan dan kegunaan wang RM1 juta itu juga adalah sesuatu yang sukar diterima akal.

“Mahkamah juga tidak bersetuju dengan keterangan Syed Saddiq bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai jumlah sebenar wang yang dikeluarkan, sebaliknya berpendirian, tindakan tertuduh selaku Ketua ARMADA ketika itu yang juga seorang daripada pemegang amanah akaun, mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, adalah kesalahan pecah amanah,” katanya dalam penghakiman Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta serta dua sebatan terhadap Syed Saddiq pada 9 November tahun lalu.

Ia selepas mahkamah mendapatinya bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA BERSATU.

Azhar membuat dapatan itu menerusi alasan penghakiman setebal 22 muka surat yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.

Beliau berkata, tindakan menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan tanpa disimpan di tempat yang selamat di pejabat ARMADA juga menimbulkan satu inferens niat jahat di pihak tertuduh.

Sementara itu, Azhar berkata, tiada satu pun keterangan dikemukakan Syed Saddiq menunjukkan kutipan majlis makan malam (ARMADA) yang akan diadakan adalah untuk menggantikan perbelanjaan yang dibuatnya sebelum ini.

Sebaliknya, hakim itu berkata, ia adalah untuk menampung kempen pilihan raya bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

“Kronologi dan tarikh menunjukkan pemindahan wang RM100,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) kepada akaun peribadi Maybank tertuduh berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung.

“Pemindahan wang itu ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik Ahli Parlimen Muar itu pula berlaku sebulan selepas pilihan raya.

“Penyata bank yang dikemukakan tidak menunjukkan sebarang pengeluaran yang boleh dikatakan sebagai perbelanjaan bagi kempen pilihanraya. Justeru , dakwaan bahawa tertuduh sudah membelanjakan wang beliau sendiri juga tidak disokong mana-mana keterangan.

“Tanpa sebarang bukti untuk menyokong fakta ini, dakwaan yang wang terbabit adalah untuk menggantikan wang tertuduh sendiri juga tidak berasas,” katanya.

Azhar sebelum ini membenarkan bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu menangguhkan pelaksanaan semua hukuman, manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Azhar berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen dan idola anak muda, Syed Saddiq sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.

“(Ini supaya) untuk beliau terus menjadi ikutan anak-anak muda, selain melaksanakan tanggungjawab seorang yang dipilih rakyat Muar dalam memperjuangkan hak mereka.

“Mahkamah juga mengambil kira ini kesalahan pertama tertuduh. Selain itu, usia tertuduh yang masih muda juga menjadi pertimbangan mahkamah ini.

“Pada usia ini, tertuduh masih mempunyai banyak masa lagi untuk menyedari dan memperbaiki kesilapan dilakukan serta mengambil iktibar daripada apa yang berlaku,” katanya.

Susulan itu, Azhar berkata, mahkamah berpendapat hukuman diberikan adalah munasabah dan berpatutan.

Source : Berita Harian



Comments
Loading...