Peguam persoal sikap berdiam diri peguam negara berhubung pengguguran ketua pendakwa kes Zahid
Rafique Rashid berkata penjelasan mesti diberikan segera.
(MalaysiaNow) – Seorang peguam menggesa Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan laporan berhubung ketua pendakwa raya dalam perbicaraan rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan, dengan mengatakan banyak isu berkaitan kes Yayasan Akal Budi “semakin diselubungi misteri”.
Rafique Rashid dalam satu kenyataan berkata Raja Rozela Raja Toran mengetuai pasukan pendakwaan sejak awal kes sehingga Zahid dipanggil membela diri.
“Perbicaraan di tahap pendakwaan selama 53 hari bermula 18 November 2019 sehingga 19 Mac 2021 membabitkan 99 saksi.
“Kayu ukur kejayaan pasukan pendakwaan sudah tentu apabila Zahid dipanggil membela diri yakni segala elemen-elemen pertuduhan berjaya dibuktikan.
“Maka sekiranya begitu mengapa ketua pasukan pendakwaan digantikan?”