Isu RM600 bilion: Tak ada apa nak sorok, kata Tengku Zafrul


(FMT) – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata beliau tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan berhubung dakwaan penyelewengan perbelanjaan hampir RM600 bilion oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Tengku Zafrul turut mengesahkan sehingga kini belum mendapat sebarang panggilan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan itu.

“Setakat ini tak ada panggilan daripada SPRM. Kalau dapat panggilan sudah tentu kita akan kerjasama.

“Apa yang penting, tak ada perkara yang kita nak sorok, jadi sudah tentu kita lebih dari bersedia (bagi kerjasama) jika dapat panggilan,” katanya kepada pemberita di Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama Pengkalan Udara TLDM.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa beliau akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.

Semalam sebuah portal memetik sumber berkata siasatan SPRM itu susulan laporan diterima daripada beberapa pihak mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik Covid-19 melanda negara mulai 2020.

Ketika pentadbiran Muhyiddin, Tengku Zafrul dilantik sebagai menteri kewangan.

Pada 6 Dis, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam hantaran Facebook menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Pengerusi PN itu berkata, tidak mungkin beliau menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau yang juga presiden Bersatu juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan yang semuanya berjumlah RM530 bilion.

 



Comments
Loading...