Muhyiddin jadi mangsa komplot Anwar-Zahid, tapi akhirnya Anwar ditipu Zahid


(Agenda Daily) – Kemelut politik sehingga episod peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini bermula dengan komplot yang dirancang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetapi penghujungnya Ketua Pembangkang itu ditipu sendiri anak muridnya.

Secara faktanya, Anwar sudah merancang rapi untuk menjatuhkan Muhyiddin sejak tahun lepas menerusi surat dihantar Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Istana Negara dan dibuktikan pula selepas itu dengan pendedahan klip audio perbualan tular pada April lalu.

Muhyiddin cuba mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) daripada jatuh tetapi kerakusan Anwar dan Zahid bersama 15 Ahli Parlimen UMNO yang mengikutnya berterusan memberi tekanan sehingga akhirnya terpaksa melepaskan jawatannya kerana tidak mahu berkompromi dengan kumpulan kleptokrat tersebut.

Rakyat terpengaruh dengan permainan persepsi dimainkan pasangan beregu Anwar dan Zahid, terpesona dengan janji manis kononnya mahu membela rakyat tetapi realitinya kedua-dua mereka mempunyai cita-cita sama untuk berkuasa dan mengidamkan jawatan Perdana Menteri (PM) yang selama ini dicita-citakan.

Terbukti cikgu dan anak muridnya tersebut mempunyai matlamat yang sama tetapi siapa akan sangka anak murid menelan cikgunya sendiri, begitulah kebesaran Allah yang membalas kepada dua insan yang tidak mempunyai niat ikhlas untuk memimpin negara.

Muhyiddin cuba menawarkan kerajaan perpaduan dan kerjasama dengan parti-parti pembangkang sebelum hari-hari akhirnya sebagai PM, tetapi dengan bongkaknya Anwar dan Zahid menolak dengan mentah-mentah tawaran tidak cukup dengan itu dilontar pula dengan kata-kata tidak manis.

Tawaran Muhyiddin itu ada asasnya bagi mengelakkan kemelut politik berpanjangan yang tidak ada penyudahnya, tetapi pembangkang yang diketuai Anwar bersama Zahid tidak berjiwa besar dan mempermainkan tawaran tersebut.

Perangai Anwar dan Zahid ini sama, mereka tidak boleh menerima pandangan orang lain dan hanya mahu orang mendengar pandangan mereka walaupun tidak semegah mana pendapat tersebut.

Sekiranya Anwar menerima tawaran Muhyiddin, tidak mustahil peluangnya untuk menjadi PM lebih cerah dan pada masa sama boleh menonjolkan dirinya sebagai calon PM baharu yang memiliki kriteria dan karisma tetapi disebabkan kebodohan serta keangkuhan, ia membutakan mata hatinya.

Walaupun Muhyiddin didakwa sudah tidak memiliki majoriti, tetapi tawaran tersebut hanya akan datang sekali sahaja dan untuk rekod tidak pernah ada pemimpin terdahulu yang seberaninya untuk membuat tawaran tersebut yang mungkin akan mengubah lanskap politik negara menjadi lebih progresif dan maju ke depan.

DAP lebih memandang ke depan dan beberapa pemimpinnya seperti Tony Pua dan Ong Kian Ming cuba menerima idea dibawa oleh Muhyiddin tersebut tetapi ia dicantas oleh Anwar dengan secepat mungkin kerana sudah mempunyai niat lain iaitu menjadi PM dengan janji-janji dipegang oleh Zahid dan Najib.

Anwar tidak langsung memberi peluang kepada cadangan tersebut untuk dibincangkan kerana terlalu percayakan kepada kumpulan kleptokrat ini, malah tidak cuba untuk duduk bersama Muhyiddin untuk berbincang mengenai cadangan tersebut.

Anwar lebih mempercayai Zahid dan Najib, Agenda Daily daripada awal-awal lagi sudah memberitahu supaya berhati-hati dengan dua individu yang dikatakan pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz sebagai penipu besar.

Nazri awal-awal lagi sudah memberi peringatan tetapi Anwar tidak mengendahkannya, malah Anwar menghina Muhyiddin dengan pelbagai tohmahan dan kecaman yang tidak langsung dibalas Muhyiddin walaupun sakit hati.

Tidak ada satu kata daripada Muhyiddin yang menghina Anwar walaupun berstatus bekas banduan, boleh sahaja Muhyiddin mengutuknya sebagai bekas peliwat tetapi tidak ada satu perkataan daripada Muhyiddin yang mengkritiknya.

Begitu tinggi tahap kesabaran anak seorang guru agama bernama Muhyiddin ini, tidak melatah dan memaafkan lawan politiknya yang beberapa kali menikamnya.

Buat Anwar, bersabar apabila ditipu oleh anak murid sendiri dan belajar menjadi seorang pemimpin berjiwa besar seperti Muhyiddin tidak menyalahkan orang lain atas kegagalannya tetapi salahkan lah diri sendiri kerana kebodohan bekerjasama dengan kleptokrat.

Anwar selama-lamanya akan dikenang sebagai pemimpin pembangkang mesra kleptokrat dan Muhyiddin akan dikenang sebagai penentang tegar kleptokrat. Itu adalah fakta dan Anwar tidak boleh auta.

 



Comments
Loading...