‘Mungkin tidak ada’ blok pembangkang mampu gugat Muhyiddin, kata Dr M


(FMT) -Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan, tidak ada pihak atau ketua parti lain daripada blok pembangkang mampu menggugat kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) sering dikaitkan dengan majoriti kecil di Parlimen.

“Mungkin tidak ada,” katanya ringkas ketika diaju soalan oleh moderator, apakah kerajaan PN boleh digugat, selepas Parlimen dibenarkan kembali bersidang oleh Yang di-Pertuan Agong ketika tempoh darurat.

Beliau berkata demikian ketika dialog anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), bertajuk “Masa Depan Malaysia Ke Mana Kita?”

Sehingga kini, selepas setahun PN mentadbir negara, isu jumlah sokongan Ahli Parlimen terhadap Muhyiddin tetap dipertikaikan. Sebelum ini, dua Ahli Parlimen Umno, iaitu Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menarik sokongan terhadap perdana menteri.

Bagaimanapun, Muhyiddin dilihat kembali memiliki sokongan apabila dua Ahli Parlimen PKR, iaitu Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon menandatangani dan menyerahkan akuan berkanun (SD), menyatakan sokongan kepada PN.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pula berkata, penyertaan Sng dan Choong itu memberi petunjuk kerajaan PN masih belum memiliki majoriti untuk mentadbir negara, “sehinggakan perlu membeli beberapa Ahli Parlimen”.

Sementara itu, Mahathir menegaskan tindakan Muhyiddin bersetuju melaksanakan darurat adalah salah, apatah lagi ketika memutuskan untuk menggantung Parlimen.

“Dia kata hendak ada darurat sebab Covid-19, itu tidak benar. Undang-undang sedia ada sudah cukup untuk kita bertindak atas penyakit ini. Kita sudah buat macam-macam sebelum ini untuk halang wabak ini dari berjangkit, undang-undang sudah cukup dan tidak perlu darurat.

“Perdana Menteri tidak dapat sokongan untuk kekal kedudukannya. Jadi, hendak kekal sebagai perdana menteri perlu isytihar darurat, maka dia kekal sebagai perdana menteri. Ini politik, bukannya soal Covid-19. Dia guna nama Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh Agong,” katanya.

 



Comments
Loading...