(Astro Awani) – Pengumuman Ahli Parlimen Julau, yang juga bekas Pengerusi PKR Negeri Sarawak, Larry Sng Wei Shien keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu pasti meruntun jiwa presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana Anwar yang berkawan rapat dengan bapa Larry, Datuk Sng Chee Hua amat mengharapkan kesetiaannya. Apatah lagi bagi menambah sokongan untuk merampas kembali kerusi Perdana Menteri daripada genggamannya, setahun lalu.

Biarpun lulusan London School of Economics itu baharu berusia 41 tahun pada 14 September depan, namun ia bukan bermaksud Larry budak hingusan dalam politik.

Sebaliknya, Larry yang menyertai Parti Keadilan Ralyat (PKR) pada 2018 merupakan ahli politik yang cukup pengalaman.

Beliau mula menyertai politik pada usia 22 tahun apabila memenangi kerusi Dun Pelagus pada 2001, menggantikan bapanya atas tiket Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Pada 2004, beliau menyertai bapanya dan Tan Sri Dr James Masing menubuhkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan bertanding atas tiket parti tersebut pada 2006.

Sebelum itu pada 2004, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud melantik beliau sebagai menteri muda termuda dalam sejarah Sarawak drngan portfolio Perancangan Ekonomi dan Pembangunan Industri (Perancangan).

Pada 2007, beliau dipecat daripada PRS berikutan pergolakan pimpinannya. Larry tidak bertanding dalam PRN Sarawak pada 2011, beliau menubuhkan Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan bertanding di Parlimen Lubok Antu pada 2013 tetapi kalah.

Pada 2016, menjelang PRN Sarawak ke-11, beliau mengundur diri daripada SWP sebelum pada 2018 bertanding di Parlimen Julau sebagai calon Bebas, mencabar musuhnya dalam PRS dahulu, Datuk Joseph Salang Gandum.