Kes Covid-19 turun sebab kurang buat saringan? – Najib


Kementerian Kesihatan (KKM) dipersoalkan adakah penurunan ketara kes positif Covid-19 disebabkan pengurangan dalam jumlah ujian saringan yang dibuat.

(Malaysia Gazette) – Datuk Seri Najib Razak mendakwa mendapat maklumat jumlah saringan Covid-19 setiap hari yang dibuat oleh KKM susut sejak minggu lepas.

Sedangkan, pada masa sama, jumlah kes positif berbanding jumlah saringan tetap tinggi melebihi lima peratus melepasi paras minimum yang disarakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kadar itu menunjukkan virus Covid-19 masih merebak dalam masyarakat, kata bekas perdana menteri itu.

Persoalannya, adakah penurunan yang ketara bagi jumlah saringan setiap hari susulan langkah KKM tidak lagi saring semua kontak rapat kes positif.

Sebaliknya, hanya kontak rapat yang menunjukkan gejala sahaja yang akan disaring.

Najib berkata, rakyat Malaysia menyambut baik penurunan jumlah kes baharu Covid-19 yang diumum setiap hari tapi rakyat juga ada hak untuk tahu adakah penurunan ini akibat daripada penurunan jumlah saringan.

Ini kerana, semua sedia maklum bahawa sekitar 80 peratus yang positif Covid-19 tidak menunjukkan sebarang gejala.

Oleh itu, ramai masih tertanya-tanya kenapa jumlah kes positif turun begitu ketara tetapi jumlah kluster baharu yang dikesan setiap hari tetap tinggi.

Memandangkan ini soal soal kesihatan awam, Najib berharap KKM akan memberi data bagi jumlah saringan dibuat serta kadar positif terkini apabila mengumumkan jumlah kes positif setiap hari.



Comments
Loading...