TUN DR MAHATHIR LAWAN LIM KIT SIANG: ANTARA MINTA MAAF DAN TEGAKKAN BENANG BASAH


Kamarul Yusoff

Tergeliat minda saya untuk menghadam kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjawab gesaan Lim Kit Siang supaya beliau bertanggungjawab ke atas kejatuhan Pakatan Harapan.

Pada perenggan ke-4, Tun Dr Mahathir menulis yang intinya adalah “Saya terpaksa letak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana BERSATU tolak saya”.

Bagaimanapun, pada perenggan ke-13 Tun Dr Mahathir menulis pula “Saya sanggup kembali sebagai Perdana Menteri walaupun BERSATU tolak saya”.

Kalau benar mengetuai atau penerimaan oleh BERSATU adalah prasyarat yang ditentukan oleh PH kepada Tun Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri sehingga menyebabkan beliau perlu meletak jawatan bila beliau ditolak oleh BERSATU maka di manakah logiknya untuk PH menerima beliau yang sudah ditolak oleh BERSATU sebagai Perdana Menteri walaupun beliau sendiri sanggup berbuat demikian?

(Saya sebut “kalau benar” kerana “Muafakat PH” yang ditandatangani oleh semua pemimpin parti komponen PH pada 6 Januari 2018 tidak pernah menyebut bahawa pemilihan Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH dan pemilihan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon Timbalan Perdana Menteri PH adalah disebabkan oleh kedudukan mereka sebagai Pengerusi BERSATU dan Presiden PKR.)

Kalau Tun Dr Mahathir yakin bahawa PH masih akan menerima beliau yang sudah ditolak oleh BERSATU sebagai Perdana Menteri walaupun PH asalnya meletakkan mengetuai atau penerimaan oleh BERSATU sebagai prasyarat untuk beliau menjadi Perdana Menteri maka di manakah pula logiknya untuk beliau meletak jawatan sesudah ditolak oleh BERSATU tatkala ia tidak memberi kesan ke atas penerimaan PH?

Dan kalau benar sekalipun Tun Dr Mahathir percaya bahawa beliau atau PH sudah kehilangan majoriti tatkala beliau meletak jawatan pada jam 1.00 petang 24 Februari 2020 tidakkah jauh lebih mudah untuk beliau atau PH berusaha mendapatkan kembali majoriti yang hilang itu jika beliau atau PH masih mempunyai kuasa berbanding dengan jika mereka sudah kehilangan kuasa ekoran tindakan beliau meletak jawatan?

Dan kalau betul Tun Dr Mahathir berpegang teguh dengan segala butiran “Muafakat PH” maka di manakah pula logiknya untuk beliau meletakkan “nama Datuk Seri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak disebut” sebagai prasyarat baru untuk beliau kembali sebagai Perdana Menteri sedangkan prasyarat ini tiada dalam “Muafakat PH” yang sebaliknya menjanjikan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-8?

Tidakkah minta maaf kerana silap itu lebih mudah dari menegakkan benang basah?

 



Comments
Loading...