Ordinan Darurat kuasa mutlak Agong


Oleh Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, 1Media.my

11 Januari 2021 menyaksikan negara Malaysia menutup pintu Parlimen kepada 222 ahlinya. Badan perundangan di peringkat Persekutuan “digantung” fungsinya. Kuasa eksekutif diserahkan kepada kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri yang memerintah sebelum proklamasi darurat diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam menjalankan tugasnya, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan proklamasi darurat setelah mendapat nasihat Jemaah Menteri. Ini merupakan permintaan kedua oleh Jemaah Menteri setelah gagal dalam cubaan pertama pada 25 Oktober 2020. Kali terakhir seluruh negara berada di bawah perintah darurat adalah pada tahun 1969 rentetan peristiwa 13 Mei 1969. Sebelum itu, perintah darurat seluruh negara berlaku pada tahun 1964 kerana konfrontasi dengan Indonesia.

Sebenarnya proklamisasi darurat terpilih telah dimasyhurkan di Gerik dan Bugaya, Sabah pada 16 Disember 2020 dan di Batu Sapi, Sabah pada 18 Disember 2020 apabila berlaku kekosongan kerusi Parlimen dan Negeri wakil rakyat di tiga kawasan ini akibat kematian penyandangnya. Kesannya, pilihanraya kecil di tiga kawasan ini tidak perlu diadakan sehingga proklamisasi ini ditarik balik. Ini kerana mengambil pengajaran penambahan mendadak kes pandemik COVID-19 dalam Pilhan Raya Negeri Sabah pada 26 September 2020.

Sebenarnya, semua perisytiharan proklamisasi darurat yang berlaku di Malaysia adalah selaras dengan Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 150 (1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh membuat perisytiharan darurat setelah berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Perkara 150 (2) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh bertindak sedemikian sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

Dalam hal ini, tindakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. Perkara 150 (8) (b) memperuntukkan bahawa mahkamah tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk dalam keputusan yang telah dibuat oleh Agong dalam perkara berkaitan darurat.

Isu yang dibangkitkan ialah bolehkah kerajaan minoriti yang keabsahan majoritinya menjadi persoalan boleh diberi kuasa eksekutif oleh Yang di-Pertuan Agong semasa negara berada dalam waktu darurat? Jawapanya ialah pertikaian ini tidak menjejaskan kedudukan eksekutif hari ini sehingga perisytiharan darurat tamat pada 1 Ogos 2021 atau lebih awal bergantung kepada laporan jawatan kuasa khas yang akan dibentuk bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong. Meskipun begitu, mengikut Profesor Shad Saleem Faruqi, dalam menjalankan tugasnya, Yang di-Pertuan Agong boleh tidak menggunakan kuasa baginda demi kebaikan negara dalam membuat perisytiharan darurat sekiranya Perdana Menteri tidak mendapat majoriti ahli Dewan Rakyat di Parlimen.

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuatkuasa mulai 11 Januari 2021 telah masyhurkan oleh Yang di-Peruan Agong dan diwartakan pada 14 Januari 2021 adalah dibuat di bawah Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan. Ia merupakan undang-undang khas yang dibuat di bawah Ordinan Darurat yang tidak memerlukan kelulusan Parlimen kerana Parlimen tidak perlu bersidang selama tempoh darurat kecuali ia dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian. Sekiranya tempoh darurat ini perlu dilanjutkan, ia perlu kepada satu proklamisasi perisytiharan baru bagi tempoh tersebut.

Antara perkara penting dalam Ordinan Darurat ini ialah kuasa eksekutif dan perundangan terletak ke atas perdana menteri dan jemaah menteri dalam menjalankan kuasa eksekutif persekutuan dan diberikan kuasa membuat undang-undang subsidiari. Manakala menteri besar atau ketua menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri diberi kuasa eksekutif dan membuat undang-undang di peringkat negeri.

Hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang enggan mematuhi tuntutan kerajaan bagi menyerahkan harta atau sumber boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM 5 juta atau kedua-duanya.

Segala tindakan oleh kerajaan atau agennya dalam melaksanakan undang-undang ini tidak boleh diambil tindakan undang-undang semasa Ordinan ini berkuatkuasa atau di masa hadapan.

Kecuali dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong untuk bersidang, Parlimen tidak bersidang semasa tempoh Ordinan ini berkuatkuasa. Tambahan pula, pilihanraya umum atau negeri termasuk pilihanraya kecil tidak perlu diadakan semasa tempoh berkuatkuasa Ordinan ini. Justeru itu, kekosongan kerusi di Dewan Negara seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 54 serta peruntukan di bawah Perkara 55 di mana Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen untuk bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir persidangan sebelumnya tidak terpakai semasa tempoh Ordinan ini berkuatkuasa.

Persoalan timbul, siapakah yang akan memastikan semak dan imbang terhadap tindakan badan eksekutif ini semasa Ordinan ini berkuatkuasa kerana Parlimen tidak bersidang? Jawapannya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak dalam mengamati segala tindakan oleh badan eksekutif kerana negara berada dalam keadaan darurat. Demokrasi berparlimen terhenti buat seketika semasa Ordinan ini berkuatkuasa.

Menurut Profesor Shad Saleem Faruqi, secara umumnya, apabila Ordinan Darurat diisytihar dan diwartakan, kesannya ialah kuasa Ordinan ini mengatasi kuasa undang-undang yang sedia ada dan ia boleh bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang wujud. Dalam hal ini, sesuatu ordinan yang bercanggah dengan hak asasi dan melangkau bidang kuasa negeri, kecuali dalam hal ehwal agama Islam, adat Melayu dan undang-undang adat boleh dibuat semasa tempoh darurat. Ia boleh dilakukan oleh Parlimen sekiranya bersidang atau melalui permasyhuran oleh Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan ordinan tersebut. Dalam hal ini, ia tidak memerlukan perkenan Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Negeri-Negeri.

Malah semakan kehakiman walaupun berasas kepada perlembagaan juga agak sukar kerana Perkara 150 (6) memperuntukkan bahawa tiada peruntukan dalam Ordinan Darurat terbatal walaupun bercanggah dengan Perlembagaan. Tambahan pula, Perkara 150 (8) menghalang semakan kehakiman ke atas Ordinan Darurat.

Memandangkan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak bersidang apabila Ordinan Darurat 2021 diisytiharkan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut Perkara 150 (2B) bagi membuat apa-apa undang-undang semasa tempoh darurat tersebut.

Adalah jelas bahawa kuasa-kuasa darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memberi asas bagi membuat satu undang-undang khas yang kuasanya sama atau lebih tinggi dari perintah undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan.

Meskipun begitu, Ordinan Darurat 2021 perlu dibentangkan di Parlimen menurut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan apabila Parlimen dipanggil bersidang oleh Yang di-Pertuan Agong.

 



Comments
Loading...