Muhyiddin sudah hilang sokongan dan telah gagal, kata orang Najib


Oleh Isham Jalil

Setelah bertahun saya menulis, tentunya tuan-tuan dan puan-puan telah boleh melihat bahawa dalam sesuatu isu saya mengambil pendirian berdasarkan prinsip, fakta dan kepercayaan saya, dan bukannya berdasarkan populariti.

Sebagai seorang pemimpin mahupun ahli politik, ada kala kita perlu berani mengambil pendirian yang tidak popular untuk menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan untuk kebaikan yang lebih besar.

Dan saya hargai dan raikan kepelbagaian pendapat dan pandangan di komen-komen posting saya, sama ada komen-komen positif atau komen-komen negatif (kecuali komen-komen carutan, komen robot dan spam, atau komen iklan jual barang yang terpaksa ditapis oleh admin saya atas sebab yang terjelas dengan sendirinya).

Ini termasuklah komen-komen daripada penyokong-penyokong PPBM, penyokong Muhyiddin, Azmin, pekerja J-KOM dan sebagainya yang tentunya tidak bersetuju dengan saya dalam pelbagai perkara.

Namun komen-komen negatif, cacian atau cemuhan anda (penyokong PPBM) tidak mengubah hakikat bahawa kerajaan Perikatan Nasional hari ini adalah kerajaan yang telah hilang majoriti dan tidak lagi mempunyai keabsahan (legitimacy) untuk mentadbir dan memegang kuasa.

Dan ia juga tidak mengubah hakikat bahawa Tan Sri Muhyiddin juga telah hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri dari segi moral mahupun undang-undang kerana dia tidak lagi mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat walaupun dia telah menggantung Parlimen dengan pengisytiharan darurat.

Dan ia juga tidak mengubah hakikat bahawa Perdana Menteri dan kerajaan hari ini telah;

1. Gagal untuk menangani wabak COVID-19 sejak 10 bulan yang lepas di mana keputusan-keputusan kerajaan mahupun ketidakcekapan membawa kepada kenaikan kes jangkitan sehingga 3,000 kes sehari kini;

2. Gagal untuk membantu rakyat yang tertekan yang memerlukan pengeluaran KWSP Akaun 1 tanpa syarat dan menyusahkan mereka untuk mengeluarkan duit mereka sendiri;

3. Gagal melanjutkan moratorium bank walaupun PKP dilanjutkan dan darurat dikenakan sehingga bulan Ogos 2021 di mana kehilangan pendapatan rakyat dijangka meningkat dan mereka tidak mampu untuk membayar bank;

4. Gagal untuk mengekang kejatuhan ekonomi negara di mana ekonomi masih di paras negatif dan kadar pengangguran meningkat sehingga 4.8 peratus dan pengangguran belia dianggarkan melebihi 15 peratus serta hampir 800,000 orang telah hilang kerja dan lebih 4 juta orang hilang pendapatan.

5. Gagal menyampaikan vaksin awal kepada rakyat sehingga rakyat terpaksa menunggu sehingga akhir bulan depan dan lewat berbanding negara-negara lain yang telah menerima vaksin seawal bulan lepas;

6. Gagal untuk menstabilkan kemelut politik dan menyebabkannya lebih buruk dengan kedegilan mahu terus memegang kuasa walaupun telah hilang majoriti dan sokongan;

7. Gagal untuk menarik pelabur asing di mana hampir RM1 billion telah keluar dari pasaran modal dalam tempoh beberapa minggu ini;

8. Gagal untuk mencegah kejatuhan nilai ringgit di mana ringgit berada di paras RM4.04 berbanding USD dan RM7.43 berbanding Baht.

9. Gagal membawa pembunuh Adib ke muka pengadilan;

10. Gagal mengecam pelaku kes salah laku seks luar tabii yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan Azmin Ali;

11. Gagal mendakwa seorang menteri Mustapa Mohamed dan seorang timbalan menteri Mas Ermiyati dalam kes penerimaan wang yang dikaitkan dengan 1MDB apabila menteri dan timbalan menteri tersebut melompat parti ke PPBM namun mendakwa secara terpilih pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak melompat parti dalam kes yang sama;

12. Gagal membawa bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti ke muka pengadilan walaupun keluarganya dikaitkan dengan penerimaan wang beratus juta daripada Jho Low;

13. Dan banyak kegagalan-kegagalan lain.

Jika mereka amanah, apabila mereka gagal sepatutnya mereka dan Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Tetapi ini tidak berlaku, sebaliknya mereka isytihar darurat dan terus memegang kuasa.

Malaysia hari ini berada di tangan pengkhianat.

Allah selamatkanlah Malaysia.

 



Comments
Loading...