Muhyiddin Ada Sokongan Majoriti, Tak Perlu Undur


(PN BBC) – Tiada keperluan bagi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana sehingga kini beliau masih menerima sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, malahan akar umbi sehingga ke peringkat kepimpinan tertinggi parti itu menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin.

“Tidak ada keperluan untuk beliau ke mana-mana dan beliau menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen sekarang ini untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

“Saya rasa di peringkat kita seluruh jentera parti, semua ahli parti seluruh kepimpinan Bersatu menyokong sepenuhnya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, ” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menasihatkan Muhyiddin meletakkan jawatan berikutan perkembangan terkini antara Bersatu dan UMNO.

Dalam pada itu, Wan Saiful memberitahu, ketika ini bukanlah masa dan waktu yang sesuai untuk berpolitik secara keterlaluan.

Justeru, beliau menyarankan ahli politik berhenti berpolitik sebaliknya bantu rakyat yang kini dibelenggu pelbagai masalah khususnya buat mereka yang terkesan disebabkan banjir dan COVID-19.

“Saya rasa yang penting sekali kita sebagai orang politik elok berhenti berpolitik. Berhenti mempolitikkan, bermain dengan isu politik dengan keterlaluan rakyat sekarang dalam kesusahan, bencana COVID-19 di beberapa tempat dilanda banjir itu belum lagi cakap tentang orang yang hilang pekerjaan, orang yang sedang mencari peluang pekerjaan bahru banyak perkara yang kita perlu laksanakan.

“Jadi elok kita hentikan politik yang berlebihan kita tumpukan membantu rakyat, kita pastikan kita boleh bergerak ke hadapan,”katanya.

 



Comments
Loading...