Tun M masih bersama PH mahu jatuhkan kerajaan PN


(Malaysia Gazette) – Terlalu awal bagi Perikatan Nasional (PN) bergembira dengan pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan parti Warisan keluar dari gabungan Pakatan Harapan (PH) sebagai blok bebas.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Nasional (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, ini kerana Mahathir bersama lima yang lain dan Warisan masih kekal bersama pembangkang dan mempunyai agenda sama iaitu menjatuhkan ‘kerajaan pintu belakang’ PN.

“PN tak boleh bergembira dan berhari raya atas pengumuman Tun Dr. Mahathir kerana kenyataan Tun itu masih dikaitkan dengan usaha menjatuhkan PN,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada program Retreat Amanah  hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan parti Bersatu pimpinan Mahathir membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen.

Kedua-dua parti itu juga menegaskan tidak akan bergabung dengan mana-mana gabungan bahkan mereka juga menentang sebarang usaha untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ditanya adakah Ahli Parlimen Langkawi itu masih terlibat dengan Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan, Khalid memberitahu, mereka yang berada dalam blok bebas itu tidak akan terlibat.

Katanya, ketika ini pun Mahathir tidak terlibat, kecuali hadir jika dijemput sahaja.

“Sebelum ini, dia secara jelas bersama PH dan menganggap dirinya bersama PH Plus. Sekarang, apabila sudah berada dalam blok bebas, maka dia tidak terikat dengan keputusan PH atau PH Plus.

“Sama ada dia nak ikut atau tak nak ikut, atau dia nak buat langkah sendiri atau sebaliknya, itu terpulang pada dia tapi kita akan tetap bekerjasama antara PH dengan blok bebas Tun Dr. Mahathir demi untuk kesepaduan dan kesatuan di kalangan pembangkang dalam Dewan Rakyat.

“Sekarang, kita kena bincang dan layan mereka sebagai entiti berasingan, bukan semestinya bersama kita. Kalau dia masih dalam PH Plus, itu dianggap bersama kita, sekarang tidak lagi,” katanya.

Beliau juga tidak tahu apa motif Mahathir keluar PH untuk berada dalam blok bebas tetapi dilihatnya sebagai usaha itu dilihat hendak mengambil balik kerajaan PN dengan langkahnya sendiri.

Mengenai calon Perdana Menteri di kalangan blok PH, beliau menegaskan, pendirian parti itu tetap mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Dalam soal pencalonan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula, kita telah serah kepada Anwar untuk mengadakan rundingan dan perbincangan,” katanya.

 



Comments
Loading...