PKR semakin tak relevan, kata Azmin


(Malaysia Gazette) – Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin tidak relevan ekoran tindakan zalim yang dilakukan oleh pemimpin sendiri.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia dapat dilihat menerusi pemecatan keanggotaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha baru-baru ini.

“Keadilan (PKR) sudah tidak lagi relevan. Sejak beberapa tahun ini Parti Keadilan sudah tercalar dan rakyat sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan yang ada pada hari ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika ditemui pada lawatan kerja beliau di Kampung Nakhoda di sini hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, ramai dalam kalangan ahli PKR termasuk para pemimpin tertingginya ada yang merasakan parti itu sudah tidak lagi diterima masyarakat.

Katanya, mereka cuba berbicara mengenai reformasi dan keadilan tetapi mereka tidak boleh melakukan keadilan kepada ahli sendiri.

“Bagaimana mereka boleh membawa prinsip keadilan dalam pembangunan negara kalau prinsip keadilan ini tidak dapat diterjemahkan dalam proses tindakan disiplin terhadap mana-mana anggota di dalam parti.

“Dan sebab itu bagi saya YB Haniza seorang pemimpin yang cukup dihormati bukan soal dalam kerajaan atau parti,” ujarnya.

Dalam pada itu Azmin berkata, tindakan Haniza menubuhkan pertubuhan Nation Of Women (NOW) merupakan langkah yang baik untuk beliau meneruskan perjuangannya dalam membela nasib wanita.

Katanya, perkara itu adalah lebih baik daripada beliau kekal dalam kerajaan atau parti sehingga dianggap ‘pengemis’ kepada pemimpin yang zalim.

“Yang penting beliau hendak meneruskan perjuangan menerusi pertubuhan yang dibentuk NOW. Untuk menggerakkan terus seluruh wanita menjadi penggerak utama dalam pembangunan negara.

“Saya rasa prinsip ini lebih baik daripada kekal dalam kerajaan atau parti tetapi menjadi pengemis kepada pemimpin yang zalim,” katanya.

 



Comments
Loading...