Tanpa kerjasama Wan Azizah, Anwar mustahil Tun M jadi PM-7


(Malaysia Gazette) – Kenyataan Khalid Samad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan rasa kurang senang pemimpin PKR, terutama kalangan otai reformasi.

Ini dapat dilihat dari nada tegas bekas pengasas PKR, Dr. Syed Husin Ali berhubung kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah itu, yang cuba mengungkitkan kisah silam Anwar.

Tegas beliau, tanpa kerjasama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu Presiden PKR, dan Anwar yang masih dalam penjara, Dr. Mahathir tidak mungkin boleh menjadi Perdana Menteri ketujuh.

“Hei Khalid, tanpa kerjasama daripada Wan Azizah serta Anwar, bertuah Mahathir boleh jadi PM ke-7,” katanya ringkas menerusi ciapan Twitternya, hari ini.

Syed Husin, bekas Timbalan Presiden PKR antara yang lantang mengkritik Dr. Mahathir, dan beliau dari kumpulan reformasi yang tidak bersetuju bekas Perdana Menteri itu diheret masuk dalam Pakatan Harapan (PH).

Semalam, portal rasmi Amanah menyiarkan kenyataan Khalid yang kembali manfaat diperoleh pemimpin PH apabila bekerjasama dengan Dr. Mahathir pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kata Khalid, langkah menerima Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh, menyaksikan Anwar kemudian menerima pengampunan penuh dari Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak yang pada masa ini menolak Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri kesembilan agar berpegang pada pesanan pimpinan termasuk Anwar yang mahu PH dipekukuhkan.

“Apabila kita (PH) menang, Tun jadi Perdana Menteri. Antara perkara pertama yang dilakukannya, dia (Mahathir) dapatkan pengampunan bagi Anwar,” kata Khalid sebagaimana dilaporkan portal berkenaan.

 



Comments
Loading...