Biarpun Mahathir enggan mengalah, BERSATU sudah pun hancur – Nur Jazlan


(Suara Merdeka) – TUN Dr. Mahathir Mohamad dipercayai tidak akan sebegitu mudah melepaskan pegangannya terhadap Parti BERSATU yang satu-satunya `vehicle’ beliau untuk menyelamatkan karier politik anaknya.

Lagipun, kata bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, parti itu dianggap oleh Perdana Menteri ketujuh tersebut sebagai `ciptaannya’.

Justeru beliau mempersoalkan, dalam keadaan BERSATU terjerat dengan pertelingkahan dalaman dan kucar-kacir, mana mungkin mereka mampu memasuki gelanggang pilihan raya umum ke-15 untuk meraih kepercayaan rakyat.

“Dan ini bukan kali pertama Dr Mahathir buat onar. Pada 1987 Dr. Mahathir sanggup biarkan kehancuran parti supaya boleh buang rivalnya.

“Tapi sekarang terbalik pula di mana dia bukan lagi pengerusi parti itu, malah kena buang lagi.

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai timbalan menteri waktu itu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak boleh campur tangan dalam hal pertubuhan yang perlu ikut perlembagaan parti itu sendiri serta (pertelingkahan) diselesaikan secara dalaman.

“Apa pun, BERSATU sudah hancur. UMNO harus bersedia terima Tan Sri Muhyiddin masuk UMNO tapi pemimpin-pemimpin parti itu yang lain kalau hendak masuk mestilah tanpa syarat, jangan kerana hendak jadi calon (pilihan raya) atau ketua bahagian. Ini kerana BERSATU tidak ada grassroot pun,” kata beliau kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan bahawa Dr Mahathir bukan lagi pengerusi parti itu.

Sebaliknya, keahlian Ahli Parlimen Langkawi itu serta empat lagi pemimpin parti berkenaan terhenti selepas beberapa tindakan yang dilakukan dilihat melanggar perlembagaan parti.

Dr. Mahathir yang enggan mengiktiraf keputusan yang diumumkan Hamzah dalam satu sidang akhbar pula menegaskan, BERSATU akan memecat Muhyiddin melalui “proses yang betul”.

Keputusan memecat Muhyiddin, katanya, hanya akan dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi melalui sidang mesyuarat.

 



Comments
Loading...