Langgar disiplin: Wan Saiful cadang Dr Mahathir digugurkan sebagai ahli Bersatu


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan mencadangkan agar parti itu menggugurkan keahlian semua ahli partinya yang duduk di blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

(Malaysia Digest) – Walaupun tidak menyebut namanya, antara yang duduk di blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini adalah Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlon) dan Syed Sadiq Abdul Rahman (Muar).

Menurut Wan Saiful, beliau kesal melihat ada Ahli Parlimen Bersatu yang memilih untuk duduk di luar kelompok parti dalam persidangan Parlimen pada 18 Mei lalu.

Katanya, setiap parti ada disiplinnya dan semua ahli perlu hormat disiplin parti.

Dalam perlembagaan Bersatu, menyertai kelompok pembangkang adalah satu perkara yang menyebabkan keahlian seseorang gugur dengan sendirinya.

“Bukan tindakan disiplin, tetapi gugur dengan sendiri.

“Sesuai dengan semangat “rule of law” yang kita pegang, parti perlu segera menyemak status keahlian semua mereka tanpa “fear or favour” kata Wan Saiful dalam satu kenyataannya.

Beliau mendesak agar partinya jangan biarkan wujud satu kasta dewa yang boleh menolak disiplin parti terang-terangan kerana ia akan menjadi barah yang merosakkan parti.

“Sepatutnya janganlah sombong merasakan lebih tinggi dari yang lain sehingga duduk dengan blok parti sendiri pun tidak sudi.

“Parti akan rosak jika pemimpin hanya mementingkan pandangan sendiri sahaja, tanpa mempedulikan kesan tindakan mereka ke atas persepsi rakyat terhadap parti,” kata beliau dalam kenyataan itu.



Comments
Loading...