Mat Hasan tolak pelantikan dalam GLC


(MALAYSIAKINI) – Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata beliau telah menolak pelantikan bagi menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagaimanapun bekas menteri besar Negeri Sembilan itu tidak mengulas panjang perkara itu, termasuk sebab beliau berbuat demikian.

“Ya saya,” katanya ringkas kepada Malaysiakini ketika ditanya berkenaan khabar angin berkenaan tindakannya menolak pelantikan tersebut.

Sebelum ini, satu senarai berhubung pelantikan sejumlah pemimpin Umno bagi mengetuai GLC disebarkan di media sosial, antaranya Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mad Hasan, bakal menjadi pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Terdahulu sumber dalam Umno memberitahu Malaysiakini bahawa hampir semua nama pemimpin Umno yang dikaitkan dengan pelantikan dalam GLC itu sebagai betul.

“Bagaimanapun Tok Mat (Mohamad) seorang yang menolak untuk menerajui GLC.

“Beliau menolak pelantikan itu kerana ingin memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kekuatan parti bagi menghadapi pilihan raya umum,” katanya.

Selain Mohamad, khabar angin turut mengatakan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah akan dilantik sebagai pengerusi Petronas, manakala naib presiden Mahdzir Khalid sebagai pengerusi TM.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman pula dikatakan akan menjadi pengerusi Prasarana Malaysia Bhd.

Mahdzir sebelum ini berkata beliau belum menerima apa-apa surat berkenaan perkara itu, manakala Tajuddin menyifatkannya sebagai “masih lagi bersifat khabar angin”.

Bagaimanapun sejumlah anggota Parlimen Perikatan Nasional (PN) sudah disahkan dilantik ke dalam GLC dan agensi kerajaan.

Terbaru, lima anggota Parlimen dilantik sebagai pengerusi bagi lima agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), antaranya Azizah Mohd Dun (Beaufort) sebagai pengerusi Mara dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Bachok) sebagai pengerusi Kesedar.

 



Comments
Loading...