Abdul Hadi boleh bantu Wisma Putra: Hishammuddin


(Sinar Harian) – Pelantikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah diharap dapat membantu Wisma Putra membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di rantau itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, berbekalkan pengalaman dan pengaruh yang Abdul Hadi miliki, pelantikannya sebagai Duta Khas adalah tepat pada masanya serta berupaya membantu warga Wisma Putra menjayakan pelbagai agenda khususnya berkaitan Timur Tengah.

“Ketika ini, tumpuan Wisma Putra ialah menjadi pemudah cara urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara disebabkan sekatan perjalanan dan penutupan ruang udara oleh kerajaan negara yang mereka diami.

“Ini termasuklah membantu memastikan hubungan diplomatik Malaysia dengan rakan negara di sana terus utuh dan berkekalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas pertemuan pertamanya dengan Abdul Hadi selepas dilantik menjadi Duta Khas ke Timur Tengah pada 2 April lalu.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata, Wisma Putra juga perlu menjayakan hasrat kerajaan untuk mengenalpasti mana-mana negara yang mempunyai penyelidikan saintifik dan pembangunan vaksin terbaik seterusnya memastikan Malaysia menjadi negara terawal memperoleh vaksin tersebut.

“Selain itu, kami turut membincangkan bagaimana tanggungjawab kami berdua berupaya memperkasa peranan Malaysia di Timur Tengah khususnya dalam menghadapi cabaran situasi geopolitik yang tidak menentu termasuk yang terkini ialah penularan wabak Covid-19,” katanya.

 



Comments
Loading...