Tidak ramai orang Cina dukung nasionalisme Malaysia: Kok Seong


(Ismaweb) – Rata-rata masyarakat Cina di negara ini lebih mengangkat nasionalisme etnik mereka, manakala hanya segelintir sahaja yang mendukung nasionalisme Malaysia, demikian tegas Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mendakwa, perkara tersebut berlaku boleh dikatakan kerana kesan pendidikan Cina yang menyebabkan mereka lebih berjiwa Cina sehingga kadang kala kelihatan begitu cauvinis sekali.

Dari satu sudut, Prof Kok Seong bersetuju Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) merupakan barah kepada perpaduan negara apabila melihat pelajar lulusan itu mahupun sekolah jenis kebangsaan (SJK) hanya boleh berbahasa Cina dan hidup dalam ‘dunia’ Cina sahaja.

“Dunia Cina itulah menyebabkan mereka dilihat sebagai antinasional dan penghalang kepada perpaduan. Saya kira kalau kita sudah tahu masalahnya barangkali ia boleh ditangani dengan mereka fasih dalam Bahasa Melayu,” katanya ketika temu bual Kerusi Panas TV Pertiwi, malam ini.

Prof Kok Seong berpandangan, dari sudut politik, bangsa Melayu pada kebanyakkan masanya berpecah, tetapi bagi politik orang Cina seperti DAP, MCA dan Gerakan, mereka akan bersatu padu apabila bercakap mengenai pendidikan aliran Cina.

Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun ketiga-tiga parti itu tidak sehaluan, namun mereka akan bersama-sama dalam memperjuangkan pendidikan Cina.

“Banyak faktor kita lihat. Mereka mengambil kesempatan perpecahan orang Melayu serta dasar baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu yang inginkan pembaharuan.

“Kalau dahulu waktu Barisan Nasional, mereka dikatakan begitu konservatif tetapi saya kira mereka lebih berhati-hati dalam hal ini,” katanya.

 



Comments
Loading...