Khalid Samad hentilah lihat isu ikut kaca mata politik


)Ismaweb) – Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya meminta bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berhenti daripada melihat setiap perkara melalui kaca mata politik.

Beliau membuat permintaan demikian susulan kritikan Khalid terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) – diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin – dalam mengendalikan kes COVID-19.

“Sebelum itu terkawal. 24 kes, 22 sembuh. Dua sahaja dalam rawatan. Gelombang kedua pada 27 Februari semasa Kerajaan PN sedang ditubuh, tiada Kabinet. Kabinet ditubuh 10 Mac.

“Tindakan khianat Azmin, Muhyiddin, Zahid, Hadi dan GPS bawa bala kepada negara. Nak sangat kuasa..tebuk atap,” kata Khalid menerusi akaun Twitter hari ini.

Haji Aminuddin mendakwa, tiada faedah jika isu sebegini ditimbulkan sebaliknya adalah lebih baik jika semua pihak berganding bahu membantu kerajaan dalam melawan wabak berkenaan.

“Pada masa sama, kerajaan juga harus terbuka kepada pembangkang untuk sama-sama bekerjasama. Ini adalah masa untuk kita bersatu padu, bukannya bermusuhan kerana wabak ini tidak mengenal siapa kerajaan dan siapa pembangkang. Rakyat benar-benar memerlukan pemimpin yang berjiwa besar dan berpandangan jauh.

“Janganlah kita sendiri mendedahkan kecetekan akal dan kerendahan maruah kita dengan kata-kata yang tidak wajar sebegini. Isu khianat atau tidak, saya berpendapat itu hanyalah istilah politik yang terdesak mahukan sokongan, tidak lebih dari itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Haji Aminuddin menegaskan bahawa rakyat kini sedang dalam kesusahan baik dari segi kesihatan, ekonomi dan kewangan.

“Justeru, janganlah kusutkan lagi suasana sebaliknya marilah kita bersama-sama menenangkan keadaan,” kata beliau.

Malaysia mencatat dua kematian akibat wabak COVID-19 iaitu pesakit dari kes ke-178 dan ke-358.

Kes ke-178, ialah seorang lelaki warga Malaysia yang menghadiri satu perhimpunan tabligh di Seri Petaling baru-baru ini sementara kes ke-358 pula ialah seorang lelaki berumur 60 tahun di Kuching, Sarawak.

 



Comments
Loading...