Dr M dakwa dimusuhi setiausaha politik yang masalah mahkamah


(Malaysiakini) – Krisis dalaman Bersatu yang kemudian melarat sehingga membawa kepada runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) nampaknya ada kaitan dengan peranan salah seorang setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Mahathir, setiausaha politik beliau itu sangat memusuhinya malah dalam satu kejadian, sehingga menepuk meja dalam salah satu mesyuarat Bersatu.

Kata Mahathir setiausaha politiknya itu berkempen untuk membawa Bersatu meninggalkan PH dengan menggunakan sentimen Melayu dan ia disambut oleh sebahagian besar pemimpin lain dalam parti itu.

Namun beliau memberi gambaran bahawa idea itu ada kaitan dengan kedudukan setiausaha politik terbabit yang berdepan dengan kes mahkamah.

“Ya, dia berkempen untuk keluar daripada PH. (Cadangannya) Kita adakan kerajaan Melayu dan kempen ini menggunakan sentimen orang Melayu.

“Saya berpendapat, memang bagus kalau kita ada kerajaan Melayu tetapi kita kena jaga juga sumbangan yang dibuat oleh orang Cina.

“Tetapi dia (setiausaha politik) ada masalah dengan mahkamah. Dia minta saya suruh tahan mahkamah daripada bicara kes dia.

“Itu tidak boleh dan saya tidak boleh buat. Jadi dia begitu bermusuh dengan saya,” katanya dalam wawancara disiarkan Sinar Online hari ini.

Mahu bergabung dengan Umno

Walaupun tidak menamakan setiausaha politik terbabit, dipercayai Mahathir merujuk kepada bekas pembantu khas Isa Samad, Zahid Md Arip.

Untuk rekod Isa kini berdepan 10 tuduhan rasuah dan pecah amanah semasa beliau menjadi pengerusi Felda. Dalam perbicaraan itu, Zahid adalah seorang daripada saksi yang dipanggil memberi keterangan.

Nama Zahid dikaitkan dalam sembilan daripada 10 pertuduhan yang dikenakan ke atas Isa.

Sebelum ini Zahid adalah antara pemimpin Pemuda PKR pada peringkat awal gerakan Reformasi sebelum dia meninggalkan parti itu untuk menyertai Umno.

Dia juga menjadi “mursyidul am” kepada kempen Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim’ (Tibai).

Kata Mahathir dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu lebih ramai anggotanya cenderung untuk bergabung dengan Umno.

Sebaliknya kata Mahathir, beliau terbuka untuk orang Umno menyertai Bersatu, bukanya bersama dengan Umno sebagai sebuah parti.

Bagaimanapun, kata Mahathir, beliau mendapat sokongan daripada Bersatu dan parti lain dalam PH. Justeru, katanya, tiada alasan untuk beliau meninggalkan PH.

“Apa salah dia (PH)? Dia sokong saya. Jadi saya kata kita tunggu sekejap. Kita tengok. Satu hari nanti saya akan letak jawatan. Lepas itu nak lawan, lawanlah.

“Bagaimanapun, pendapat saya itu ditolak. Dimulai oleh Muhyiddin (Yassin), penyokong-penyokongnya, terutama setiausaha politik saya yang ada masalah di mahkamah.

“Dia tepuk meja dan kata kita keluar daripada PH dan mendapat sambutan yang banyak,” katanya.

Keadaan itu, menurut ahli parlimen Langkawi berkenaan, mendorong beliau meletak jawatan selepas mendapati MPT Bersatu sendiri menolaknya.

“Jadi apabila saya kalah dan balik (ke rumah), fikir-fikir, sudah nampak saya hilang sokongan daripada parti saya.

“Oleh itu saya tidak boleh kekal sebagai perdana menteri dan pengerusi parti.

“Itulah sebabnya yang saya letak jawatan. Saya didesak oleh parti sendiri,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Zahid mengenai dakwaan Mahathir dan masih menunggu reaksinya.

 



Comments
Loading...