Istana Negara jelaskan kenapa laporan Guardian salah


(FMT) –  Istana Negara hari ini membuat penjelasan berhubung laporan akhbar British yang mendakwa tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan dan Umno kembali melalui pakatan pimpinan Muhyiddin Yassin disebabkan “rampasan kuasa diraja”.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata laporan The Guardian itu tidak tepat dan mengelirukan, memandangkan demokrasi berparlimen di Malaysia berasaskan sistem Westminster.

“Yang di-Pertuan Agong terikat oleh Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk memilih dan melantik perdana menteri susulan peletakan jawatan perdana menteri dan Kabinetnya.

“Oleh itu, apabila perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kepada baginda pada petang 24 Feb 2020 bahawa dia tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan menyerahkan surat peletakan jawatannya, baginda diwajibkan oleh Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan budi bicaranya dalam melantik perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Fadil berkata Istana Negara juga melangkaui tanggungjawabnya apabila Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menemubual semua ahli Parlimen dari semua parti politik, sebelum baginda membuat sebarang keputusan.

“Ia hanya selepas proses perundingan yang teliti dan terbuka, dan mematuhi sepenuhnya peruntukan mengikut Perlembagaan Persekutuan, baginda seperti ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melantik perdana menteri baru.

“Oleh itu, proses ini tidak boleh dianggap sebagai ‘rampasan kuasa diraja’ seperti yang dipersoalkan oleh Guardian, yang cenderung untuk bersikap amat berat sebelah dalam editorialnya,” katanya.

Beliau juga menasihati The Guardian dan saluran media lain lebih berhati-hati dalam pelaporan mereka dengan memberi tumpuan pada fakta dan objektif.

Rabu lalu, The Guardian menerusi editorial akhbarnya berkata seorang raja gulingkan keputusan pilihan raya demokratik yang mencabar orde lama yang rasuah dan ia salah dan dunia patut menegurnya.

Akhbar itu berkata keadaan-keadaan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH yang berusia 21 bulan itu menunjukkan Mahathir “tersalah agak” apabila percaya hanya beliau boleh menyatukan kerajaan dan dengan itu Agong akan melantiknya semula.

Peletakan jawatan Mahathir pada 24 Feb disusuli dengan partinya keluar PH, meninggalkan kekosongan kuasa di Putrajaya. Tidak lama kemudian pelbagai blok politik berebut-rebut mendapatkan bilangan wakil rakyat bagi meyakinkan Agong bahawa mereka ada sokangan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Pada 1 Mac, Agong menamakan Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8, selepas presiden PPBM itu tidak dapat tetap berada dalam barisan Mahathir.

 



Comments
Loading...