Buka semula kes digugurkan AG


(Ismaweb) – Kes-kes melibatkan ahli politik Pakatan Harapan (PH) yang pernah digugurkan Tan Sri Tommy Thomas ketika menjadi peguam negara mesti dibuka semula.

Pensyarah Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Aznan Hasan berkata, pembukaan semula kes bagi memastikan bahawa pengguguran tersebut mempunyai merit yang sebenar, bukan kerana kaitan mereka dengan PH.

Di samping itu, beliau juga berharap kes-kes yang membabitkan ahli politik dari parti UMNO perlu diteruskan.

“Saya rasa ini adalah adil dan saksama,” katanya yang juga bekas Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS) dalam satu kenyataan hari ini.

Tommy mengambil keputusan meletak jawatan pada 28 Februari lalu, susulan perubahan pemerintahan politik di negara ini.

Beliau mengakui penggal pentadbirannya sepatut berakhir Jun depan, namun percaturan untuk mengundurkan diri adalah selari status jawatannya yang dibuat secara lantikan politik.

“Jawatan sebagai AG (peguam negara) adalah menerusi lantikan politik yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apabila perdana menteri meletak jawatan, saya juga tertakluk untuk berbuat demikian kerana dilantik oleh beliau, malah ia penting untuk memberi laluan kepada perdana menteri baharu memilih calon baharu menyandang tugas peguam negara,” katanya.

Sewaktu Tommy melaksanakan tugas selaku peguam negara, beliau difahamkan tidak mendakwa mereka yang terlibat di dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim walaupun berjanji untuk berbuat demikian pada 30 September 2019.

Beliau juga mengeluarkan arahan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya dari DAP, P Gunasekaran, serta ADUN Gadek dari DAP, G Saminathan kerana melibatkan diri dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

 



Comments
Loading...