Sekolah vernakular: Apa sebenarnya pendirian Muafakat Nasional?


Ungkapan-ungkapan yang mengatakan bahawa mereka mahu bersatu-padu dan hidup harmoni hanyalah lips service bagi mengaut keuntungan dan survival politiknya sahaja.

(Malaysia Gazette) – Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela) menganggap MCA tidak ubah seperti DAP kerana bermati-matian mempertahankan sekolah vernakular.

Preidennya, Aminuddin Yahaya berkata, banyak lagi isu diperjuangkan oleh MCA yang menampakkan sikap sebenar mereka terhadap integrasi dan perpaduan kaum.

Beliau mendakwa, ungkapan-ungkapan yang mengatakan bahawa mereka mahu bersatu-padu dan hidup harmoni hanyalah lips service bagi mengaut keuntungan dan survival politiknya sahaja.

“Kenapa MCA tolak sistem sekolah satu aliran? Kenapa MCA tidak mahukan sekolah wawasan?

“Ini semua adalah usaha untuk mencapai integrasi dan perpaduan kaum tetapi mereka tolak. Jadi, politik apa yang MCA nak bawa dan mesej apa yang mereka mahu sampaikan kepada rakyat?,” soal beliau yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menerusi kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata, pihaknya belum lagi melihat ketegasan Muafakat Nasional dalam isu berkenaan, sebaliknya, hanya NGO-NGO Melayu Islam sahaja yang berani mencabar kedudukan sekolah vernakular agar dimansuhkan di mahkamah, tanpa sokongan parti-parti politik Melayu yang besar.

Namun katanya, umum boleh melihat sendiri NGO-NGO Cina dan India disokong kuat oleh parti-parti politik mereka seperti MCA dan MIC di mahkamah dalam isu berkenaan.

“Jadi, apa sebenarnya pendirian Muafakat Nasional dalam isu sekolah vernakular ini? Rakyat mahu tahu,” soal beliau lagi.



Comments
Loading...