Duit Saudi untuk Umno dan kuda Arab: Anifah beritahu tentang pertemuan di istana Riyadh


“Saya beri jaminan kepadanya bahawa ia tidak mengapa kerana derma itu akan digunakan untuk tujuan CSR dan politik.”

(FMT) – Bekas menteri luar Anifah Aman memberi jaminan kepada Najib Razak bahawa adalah tidak mengapa jika “derma Arab” daripada Raja Abdullah Arab Saudi didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya, beliau memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri itu.

Anifah berkata, adalah amalan biasa dalam Umno bagi presiden parti itu mengendalikan dana politik secara peribadi.

Najib merupakan presiden Umno dari 2009 hingga 2018, sementara Anifah adalah menteri luar.

“Saya beri jaminan kepadanya bahawa ia tidak mengapa kerana derma itu akan digunakan untuk tujuan CSR dan politik.

“Memasukkan wang itu ke dalam akaun perdana menteri akan memudahkan ia dikawal,” kata Anifah.

Anifah berkata, satu pertemuan diadakan di Riyadh pada Januari 2010 antara delegasi Malaysia diketuai Najib dengan Raja Aabdullah di istananya.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah duta Malaysia ke Arab Saudi ketika itu, Syed Omar Al-Saggaf dan menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom, kata Anifah.

Beliau berkata, pada hari terakhir lawatan delegasi Malaysia itu, Raja Abdullah menganugerahkan pingat tertinggi Arab Saudi kepada Najib.

“Selepas majlis penganugerahan, Datuk Seri melihat dan mengagumi lukisan kuda Arab di istana berkenaan dan beliau bercakap tentang kecantikan kuda tersebut.

‘Raja Abdullah meneliti komen tersebut dan menawarkan beliau seekor kuda, tetapi Datuk Seri dengan penuh hormat menolak tawaran itu kerana beliau (Najib) tidak menunggang kuda,” katanya Anifah dalam kenyataan saksinya.

Ketika ditanya oleh pendakwa raya V Sithambaram sama ada beliau tahu bahawa pertemuan dengan raja berkenaan diatur oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, Anifah berkata, beliau tidak maklum tentang perkara itu.

“Sehingga ke hari ini saya tidak pasti sama ada beliau rapat dengan keluarga diraja Saudi. Saya tidak pernah bertemunya,” kata Anifah.

Beliau mengesahkan bahawa wang tersebut merupakan “derma peribadi” kepada Najib walaupun diasak oleh Sithambaram beberapa kali sama ada pemimpin sesebuah negara boleh menerima pemberian pemimpin asing atas kapasiti peribadi.

Sithambaram: Saya andaikan ia tidak dibincangkan di Dewan Rakyat “bagi menjamin keselamatan”.

Anifah: Saya tidak bersetuju dengan kenyataan anda bahawa ia “bagi menjamin keselamatan”.

Sithambaram kemudian bertanya sama ada wajar untuk menggunakan wang yang didakwa derma itu untuk membeli jam berharga “hampir setengah juta” kepada pasangan.

Anifah berkata, beliau terkejut dengan soalan peguam berkenaan.

“Tentulah tidak,” katanya.

Najib sebelum ini berkata, beliau membeli satu jam Chanel berharga RM543,530 bagi mengambil hati isterinya Rosmah Mansor selepas percutian keluarga mereka pada Disember 2014 terpaksa dipendekkan berikutan banjir yang melanda pantai timur semenanjung.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah jenayah berhubung pemindahan wang berjumlah RM42 juta daripada SRC International kepada akaun peribadinya.

Beliau juga didakwa menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan atau KWAP.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

 

 



Comments
Loading...