Almarhum Raja Abdullah sangat kagum cara Najib tadbir negara berbilang bangsa


Raja Abdullah juga telah menjanjikan bantuan kewangan kepada Najib bagi kegunaan politiknya terutamanya untuk membiayai Pilihan Raya Umum (PRU-13).

(Malaysia Gazette) – Karisma serta kebolehan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mentadbir sebuah negara berbilang kaum dalam keadaan aman damai serta saling menerima Islam sebagai agama rasmi antara mengapa Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah tertarik dengan beliau.

Malah sumbangan serta derma dan tambahan kuota haji bagi rakyat di negara ini diberikan oleh Arab Saudi melalui Raja Abdullah kerana begitu tertarik dengan sistem demokrasi Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, Najib juga pernah menerima anugerah darjat kehormatan tertinggi iaitu Darjah Kehormatan Selendang Raja Abdullah Tingkat Kelas Pertama ) (“King Abdulaziz Order of Merit 1st Class”), kata bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf.

Menurut beliau, anugerah itu yang diberikan pada 16 Januari 2010 itu tidak pernah diberikan kepada mana-mana pemimpin Islam dunia kecuali Najib sebaliknya hanya Presiden Rusia, Vladimir Putin dan mantan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pernah diberikan penghormatan itu.

“Malaysia dianggap oleh Raja Abdullah sebagai negara Islam yang tidak ada kesan-kesan ‘Arab Spring’, ini adalah kerana mengikut pandangan beliau pentadbiran kerajaan Malaysia ketika itu diterajui secara berkesan oleh Datuk Najib selaku Perdana Menteri.

“Saya masih ingat bagaimana Raja Abdullah ketika memulakan satu mesyuarat rasmi dengan memuji cara pentadbiran negara yang merangkumi berbilang-bilang bangsa dan agama. Baginda amat kagum dengan konsep keserhanaan (moderate) kita.

“Dalam pada masa sama, Raja Abdullah meluahkan rasa khuatirnya dengan pergolakan serta perkembangan politik negara Islam lain seperti Indonesia, Selatan Thailand, Pakistan, India dan Selatan Filipina.

“Malaysia tidak terkesan kerana cara negara ini di tadbir bawah Datuk Najib.

“Dalam mesyuarat 11 Januari 2010 di Riyadh yang juga dihadiri oleh bekas Menteri seperti Datuk Seri Jamil Khir, Datuk Seri Anifah dan saya sendiri juga ada membincangkan kelulusan untuk melebihan kuota haji kepada 10,000 lagi yang dikemukakan oleh Datuk Najib kepada Raja Abdullah.

“Permohonan itu juga dilulusan dengan lebihan kuota 10,000 sambil memuji para jemaah Haji dari Malaysia yang dianggap antara yang terbaik di dunia kerana begitu bersopan dan beretika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan keterangan saksi sebentar tadi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika perbicaraan SRC International melibatkan penyewelengan dana RM42 juta oleh Najib.

Kata Syed Omar yang telah berkhidmat sebagai duta ke Arab Saudi selama hampir enam tahun bermula September 2008 sehingga September 2013, Raja Abdullah juga telah menjanjikan bantuan kewangan kepada Najib bagi kegunaan politiknya terutamanya untuk membiayai Pilihan Raya Umum (PRU-13).

 



Comments
Loading...