Lokman Adam dipecat dari Umno


(Malaysiakini) – Lokman Adam, yang merupakan penyokong tegar Najib Abdul Razak, telah dipecat daripada Umno oleh majlis tertinggi parti hari ini.

Perkara itu disahkan oleh dua peserta mesyuarat yang diadakan pada petang tadi.

Pemecatan Lokman dipercayai berkaitan dengan pendedahan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Zahid untuk meyakinkan pemimpin parti bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan, Lokman mendakwa bahawa dia telah dipecat semasa mesyuarat hari ini melalui “proses mengundi angkat tangan”.

Lokman sebelum ini merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno yang dipilih dan tidak hadir pada mesyuarat hari ini dengan menyatakan hilang keyakinan terhadap presiden parti.

Beliau berkata beliau akan meneruskan misinya untuk menentang Pakatan Harapan dan “tali barut” di dalam Umno melalui sebuah NGO laskar siber.

“Apabila Najib kembali menjadi presiden Umno, saya akan memohon semula menjadi ahli Umno.

“Apa yang penting, rancangan Zahid untuk memaksa 3.7 juta ahli Umno untuk mengangkat Mahathir menjadi pengerusi Pakatan Nasional telah gagal,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu, Ahli Majis Tertinggi Umno Mohd Puad Zakarshi menyifatkan pemecatan Umno sebagai “kurang bijaksana”.

Menurutnya, Lokman hari ini dipecat sebagai ahli Umno atas syor Biro Politik dan bukan atas syor Lembaga Disiplin.

“Apa fungsi Lembaga Disiplin?” soal Puad dalam kenyataan di Facebooknya.

Puad turut mempersoalkan kenapa bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussien tidak dikenakan tindakan sama.

“Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Mahathir tanpa memaklumkan majlis tertinggi dan presiden Umno adalah melanggar disiplin parti.

“Ia juga tidak menghormati institusi presiden. Bukan kerana mahu mempertahankan Lokman tetapi tindakan mestilah adil dan jangan selektif.

“Apa pun saya telah menyuarakan pendirian saya ini dalam majlis tertinggi. Tapi gagal,” katanya.

 



Comments
Loading...