Kisah Tun Dr Mahathir, Anwar dan Sodomi 4 (Bahagian 1)


Tongkat Waran

Masa berlalu dengan begitu pantas. Lebih-lebih lagi bagi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itulah yang  pasti dirasakannya apabila kalendar 2020 bermula.

Dari Januari beralih ke Februari, selepas itu Mac, diikuti April dan akhirnya Mei. Dalam konteks usia mahupun politik, masa tidak memihak kepada Mahathir, yang kini dihantui musuh politik dari pelbagai penjuru, luar mahupun dalam.

Persoalan paling besar apakah akan berlaku peralihan kuasa antara Tun M dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang telah dijanjikan sesama pimpinan parti dalam Pakatan Harapan( PH)? Mei 2020 adalah batas waktu bagi beliau tunaikan janji. Atas kertas Mahathir memperlihatkan akur mahu berundur bagi memberi laluan kepada Anwar, meskipun beliau memohon dilanjutkan masa sehingga Persidangan APEC pada November 2020.

Ada juga laporan media menyebut Perdana Menteri memerlukan tempoh tiga tahun sebelum menyerahkannya kepada Anwar. Namun selagi tiada pelan peralihan kuasa, ia menimbulkan pelbagai teka teki dan spekulasi yang terus bertiup kencang mewarnai politik Malaysia.

Mahathir tetap Mahathir. Realitinya beliau tidak mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar atas banyak sebab selain percaya kepada opsyen tertentu. Berdasarkan sumber-sumber yang rapat dengan Mahathir, pemimpin berusia 94 tahun itu sudah menyediakan pelan khas, yang menanti untuk dilaksanakan satu persatu.

Walaupun sebahagian pemimpin PH telah menghidu gerakan tersebut, cabarannya banyak lagi yang mereka tidak tahu tentang muslihat Mahathir.

Yang mungkin sudah diperkatakan dengan meluas adalah desas-desus bahawa Mahathir sedang menjalin muafakat politik baharu. Ia melibatkan kerjasama antara PBBM, PAS, UMNO dan penyokong Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Itu memang benar dan sedang rancak diusahakan menerusi banyak pertemuan dan perundingan tertutup.

Walaupun Perdana Menteri akan berdepan kompleksiti dan kesukaran untuk menjayakan rancangannya itu, beliau tetap dengan agendanya. Lagipun Mahathir tidak percayakan Anwar untuk menjaga legasinya terutama kepentingan, kekayaan dan bisnes anak-anaknya.

Soal janji kepada Anwar mahupun sesiapa sahaja tidak lagi penting. Mahathir hanya menggunakan pengaruh Anwar pada PRU14 untuk menjayakan strategi dan muslihatnya menumbangkan kerajaan BN pimpinan Najib Tun Razak. Apabila kuasa sudah di tangan, lebih-lebih lagi buat kali kedua, Mahathir ‘bijak’ menggunakan kuasa itu biarpun akan memimpin secara  autokratik dan diktator.

Dalam satu perbincangan pada mesyuarat Kabinet, beliau tanpa berselindung mengakui masih lagi seorang yang autokratik. Dengan masa yang kian suntuk, Mahathir terpaksa bertindak mengukuhkan kuasa dan kedudukannya. Survival politik beliau lebih utama. Mahathir lebih berusaha menyelamatkan dirinya berbanding menyelamatkan negara daripada pelbagai masalah, kelemahan dan kepincangan terutama pentadbiran,  ekonomi serta diplomatik.

Selain itu banyak janji yang gagal ditunaikan,  menyebabkan rakyat semakin menolak kepimpinan beliau. Kekalahan lima Pilihanraya Kecil (PRK) berturut-turut adalah mesej jelas buat Perdana Menteri supaya berundur. Di sebalik semua itu dan mudarat besar yang melanda negara, Mahathir enggan mengambil tanggungjawab. Beliau peduli apa kerana kuasa eksekutif di tangan beliau malah telah merancang konspirasi baru untuk tundukkan musuh-musuh politiknya.

AKAN DISAMBUNG ESOK

 



Comments
Loading...