Dakwaan kumpulan kepung saya ada kaitan Umno berpandukan siasatan polis’


(Malaysiakini) – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia mengesyaki kumpulan yang mengepungnya pada majlis Bersatu di Johor Jumaat lalu mempunyai kaitan dengan Umno berdasarkan siasatan polis.

“Saya mengesyaki seperti itu berdasarkan apa yang diberitahu kepada saya oleh polis ketika saya diberikan penerangan.

“Saya katakan itu selepas diberi penerangan, jadi saya berpandukan siasatan polis.

“Biarkan polis menyiapkan siasatan dan saya sangat gembira mendengar tindakan telah diambil terhadap tiga orang dan saya berharap ia tidak berakhir di sana,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri program Sekolah Pemimpin Masa Depan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lalu, Syed Saddiq dan ibu bapanya dikatakan terpaksa melarikan diri apabila sekumpulan individu mengepung meja mereka ketika majlis Pemuda Bersatu Johor.

Syed Saddiq kemudian mengatakan bahawa dia mengesyaki kumpulan itu mempunyai kaitan dengan Umno.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Pemuda Umno sejak itu membuat laporan polis berhubung perkara ini.

“Saya mengalu-alukan laporan polis mereka. Saya dimaklumkan bahawa mereka akan menyaman saya dan saya mengalu-alukannya juga,” kata Syed Saddiq, ketika ditanya hari ini mengenai laporan polis Pemuda Umno.

Gambar Syed Saddiq memanjat pagar beredar di media sosial selepas insiden itu.

Dia menjelaskan bahawa dia dinasihatkan oleh pihak polis dan penganjur acara itu untuk tidak berdepan dengan kumpulan yang mengepungnya.

Kata Syed Saddiq, memandangkan kumpulan berkenaan berkumpul di di satu-satunya pintu keluar, dia serta beberapa orang lain, terpaksa mencari jalan lain untuk meninggalkan tempat itu.

“Jika kita berdepan dengan mereka, situasi akan jadi lebih buruk. Jelas sekali kita tidak mahu ada apa-apa konfrontasi kerana ia boleh membawa kepada serangan fizikal dan itu adalah perkara terakhir yang kita mahu berlaku.

“Jadi kita menggunakan laluan yang berbeza, bukan hanya diri saya sendiri tetapi exco negeri Melaka Rafiq (Naizamohideen) dan bekas exco negeri Johor Mazlan Bujang, yang juga bersama kami.

“Jadi kami menggunakan laluan lain, yang jelas akan melalui kawasan hutan,” jelas Syed Saddiq.

Tiga orang ditahan untuk siasatan berhubung kejadian itu setakat ini.

 



Comments
Loading...