Charles Santiago juga perlu letak jawatan – Dr Mohd Asri


(Berita Harian) – Tindakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang berterusan memberi kenyataan berbaur perkauman akan memberi kesan buruk kepada penduduk negara ini.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata Charles tidak sepatutnya mendesak Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad meletak jawatan, hanya kerana isu soalan peperiksaan universiti itu.

Tegasnya, perbuatan pemimpin itu akan hanya menyebabkan perpecahan selain menjadi punca kepada ketegangan antara kaum di negara ini.

“Dia (Charles) kena ingat apa yang dilakukannya itu tidak membawa sebarang keuntungan kepada negara untuk jangka masa panjang.

“Hari demi hari, orang sepertinya bersama beberapa pemimpin parti politik tertentu sering mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum.

“Jika beliau mahu orang lain meletakkan jawatan hanya kerana isu berkenaan (soalan peperiksaan), maka Charles pun kena letak jawatan atas kenyataannya yang saban hari sering menimbulkan isu perkauman dalam negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian KFC Pandu Lalu Kangar Jaya, di sini, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Charles mendesak R Badlishah meletak jawatan sebagai Naib Canselor UniMAP berikutan tindakan universiti itu mempertahan kertas soalan peperiksaan subjek Kursus Hubungan Etnik (UUW235) yang dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) pengajian.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, sepatutnya sebagai Ahli Parlimen kerajaan, Charles seharusnya memfokuskan pembangunan ekonomi negara berbanding masalah perkauman.

“Masalah terbesar yang dihadapi ketika ini adalah wujudnya kumpulan tertentu yang sering membangkitkan isu perkauman.

“Dalam masa dua tahun, kerajaan seharusnya memfokuskan isu kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan bukannya menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya.

 



Comments
Loading...