Maszlee yang susah


Timmy Say, FMT

Ketika isu kuota 90% untuk kemasukan pelajar Bumiputera ke matrikulasi menjadi isu sensasi bulan lalu, Kementerian Pendidikan membawa isu itu ke Kabinet untuk dibuat keputusan.

Keputusannya mudah – bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan ditambah daripada 25,000 tempat kepada 40,000 tempat, tetapi kuota 90% untuk pelajar Bumiputera kekal. Keputusan ini diumumkan Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada 24 April lalu.

Jawapan Maszlee ketika itu dilihat sangat cermat. Ia menzahirkan keinginan kerajaan untuk menjaga hati pihak bukan Melayu yang menggesa dasar matrikulasi dikaji semula atau membuka lebih banyak tempat dalam program matrikulasi kerajaan kepada pelajar bukan Bumiputera.

Pada waktu yang sama, kerajaan Pakatan Harapan juga ingin menjaga hati orang Melayu yang merasakan kerajaan PH tidak menjaga mereka.

Di dalam hujahnya, Maszlee berkata keputusan mengekalkan kuota “selaras visi asal program matrikulasi” iaitu menggalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains.

“Keputusan ini juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan program matrikulasi kementerian dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum,” katanya.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyokong penuh keputusan Kabinet tersebut. Katanya, kerajaan PH buat masa ini perlu mengurangkan kebimbangan orang Melayu.

“Kita tidak mahu mereka rasa kita ambil tempat orang Melayu. Ini khasnya untuk fakulti di mana penyertaan Melayu amat rendah,” katanya.

Sepatutnya isu matrikulasi itu mati dengan keputusan Kabinet pada 24 April lalu. Disebabkan ia keputusan Kabinet, ini bermakna DAP juga bersetuju dengan keputusan tersebut.

Gelanggang perdebatan matrikulasi dibuka semula pada 6 Mei lalu apabila Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata program pra-universiti itu dibuat bagi memudahkan pelajar Melayu memasuki universiti yang disifatkannya pintu belakang.

“Kita adakan kelas matrikulasi kerana kita dapati pelajar Melayu tidak mahu ambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), jadi tidak boleh masuk universiti.

“Jadi kita adakan pintu belakang kepada mereka. Ia memang berperanan sebagai pintu belakang untuk pelajar Melayu.”

Istilah “pintu belakang” yang digunakan Mahathir sememangnya berbaur kurang enak yang boleh menyinggung perasaan.

Kenyataan Mahathir kemudiannya disusuli kenyataan Daim Zainuddin yang jauh lebih pedas 6 hari kemudian.

Beliau berkata program matrikulasi sudah tidak relevan kerana tujuan asal bagi mengimbangi agihan kaum di universiti sudah ditangani. Beliau melahirkan kebimbangan pembangkang akan mengambil kesempatan ke atas isu ini sekiranya matrikulasi dibatalkan.

“Waktu ia dimulakan dulu ada alasan baik untuk betulkan ketidakseimbangan (kaum). Sekarang sudah tidak relevan, boleh dihapuskan. Tetapi kalau (kerajaan) hapuskan sekarang, pembangkang akan terus jadikan isu.”

Kenyataan Mahathir dan Daim sudah tentu diraikan pihak yang menggesa kuota matrikulasi dimansuhkan atau dikaji semula, manakala pihak yang menyokong kuota matrikulasi dikekalkan pula akan menjadi defensif.

Insan yang paling terkesan di dalam permainan Mahathir dan Daim ini ialah Maszlee sendiri.

Sehari selepas Daim membuat kenyataan, Maszlee di satu forum ditanya soalan mengenai pendirian kerajaan mengekalkan kuota mengikut kaum dalam sistem matrikulasi.

Maszlee tidak bermain dengan sentimen yang dimainkan Mahathir dan Daim. Beliau mengulangi pendirian kerajaan dalam mempertahankan kuota program matrikulasi yang memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera.

Sekiranya perkara itu perlu diubah, Maszlee berkata Malaysia baru juga perlu memastikan peluang pekerjaan kepada Bumiputera tidak dinafikan.

Beliau memberikan contoh (ada yang menyifatkan beliau membuat dakwaan secara membuta tuli) pasaran kerja mendiskriminasi mereka yang tidak tahu berbahasa Mandarin dan bertudung.

“Kalau kita boleh hapuskan itu semua (diskriminasi), jikalau kita boleh beri peluang yang saksama pada pekerjaan, pada peluang perniagaan, pada waktu itu kita boleh bicarakan tentang bersikap adil dalam semua perkara,” katanya dalam forum di Universiti Sains Malaysia.

Dengan sentimen anti-matrikulasi yang dimainkan Mahathir dan Daim, sudah tentu ramai terutamanya pejuang menghapuskan kuota matrikulasi melihat kenyataan Maszlee sebagai melawan bos.

Apabila Maszlee mengaitkan bahasa Mandarin, datanglah tsunami mereka yang tersinggung kerana mengaitkan bahasa ibunda mereka yang mahukan Maszlee dipecat serta-merta dan digantikan dengan Mahathir yang sudi mencela sistem matrikulasi berbanding Maszlee yang mempertahankan sistem matrikulasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa juga menyatakan sokongan penuh kepada kenyataan Maszlee itu kerana ia selaras keputusan Kabinet.

Persoalannya ialah apakah isu diskriminasi peluang pekerjaan kerana tidak tahu berbahasa Mandarin dan tidak bertudung yang dibangkitkan Maszlee dalam forum turut dibangkitkan di dalam mesyuarat Kabinet pada 24 April lalu, dan menjadi salah satu asas kepada keputusan kerajaan untuk mengekalkan kuota matrikulasi?

Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), penghapusan kuota matrikulasi serta mempunyai seorang timbalan yang dipersepsikan tidak selari dengannya, “Maszlee is set up to fail as minister from the start”.

Ketiga-tiga isu ini akan menjadi duri di dalam PH, jika gagal ditangani dengan baik akan menjadi seperti hukum jenayah syariah dalam Pakatan Rakyat.

 



Comments
Loading...