Surau Al-Makmur PPR Sri Pantai dibaling botol arak


(Berita Harian) – Jemaah Surau Al-Makmur Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Jalan Pantai Dalam di sini, dikejutkan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membaling beberapa botol arak kosong di perkarangan surau berkenaan, malam kelmarin.

Kejadian dikatakan bermula sekitar jam 8.30 malam ketika jemaah dari Blok 100 dan 102 PPR terbabit ke surau itu untuk menunaikan solat Isyak seterusnya solat sunat Tarawih.

Menurut seorang jemaah, Arif Yusoff, 53, ketika kejadian, beliau baru turun dari blok kediamannya di Blok 100 untuk ke surau yang terletak di tingkat bawah blok berkenaan.

“Botol pertama dan kedua dibaling dan jatuh di hadapan surau hanya kira-kira empat atau lima meter jauhnya dari tempat saya berjalan.

“Satu daripada botol berkenaan terkena sebuah motosikal dan tidak pecah manakala satu lagi botol berderai di atas laluan di hadapan surau.

“Dua lagi botol dibaling ketika azan Isyak dan beberapa botol lagi turut dibaling di hadapan surau ketika hampir 40 jemaah sedang menunaikan solat Tarawih dan sebaik selesai solat kira-kira jam 10.30 malam,” katanya.

Katanya, sebiji botol yang dibaling juga hampir mengenai imam jemputan yang ketika itu baru sampai dan sedang berjalan ke pintu masuk surau.

“Semuanya lapan botol, dan kita percaya ia dibaling dari tingkat atas blok namun kita tidak pasti di tingkat mana.

“Beberapa ahli jawatan kuasa (AJK) surau kemudian membuat laporan di Balai Polis Pantai kerana kejadian itu hampir menyebabkan imam jemputan dan jemaah lain cedera.

“Mereka turut menyerahkan sebiji botol arak yang kebetulan tidak pecah itu kepada pihak polis,” kata Arif yang sudah menetap di PPR itu hampir 12 tahun.

Penduduk, Mohd Hafiz Yusof, 32, pula memberitahu beliau baharu pulang bekerja dan sedang berbual dengan beberapa rakan tidak jauh dari motosikalnya yang diparkir di hadapan surau.

“Ketika itulah botol pertama dan kedua dibaling dari atas blok dan satu terkena motosikal saya sehingga ‘mudguard’ (pelindung lumpur) tayar hadapan pecah.

“Bayangkan kalau botol berkenaan terkena pada penduduk atau jemaah masjid, sudah tentu boleh menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya.

Tambah beliau, kejadian membaling atau membuang objek dari tingkat atas di PPR itu adalah perkara biasa dan ia memang kerap berlaku.

Bagaimanapun, kejadian membaling botol arak di hadapan surau malam kelmarin itu agak ‘luar biasa’ kerana membabitkan jumlah yang banyak seperti ia dirancang.

Kejadian yang berlaku di Surau Al-Makmur itu viral di media sosial sejak semalam dan ada yang mendakwa perlakuan itu dilakukan segelintir individu yang tidak berpuas hati dengan bunyi ‘bising’ dari surau berkenaan.

Setakat ini, BH masih menunggu maklum balas polis berhubung kejadian itu.

 



Comments
Loading...