SPRM mungkin panggil Hadi tentang bayaran RM1.4 juta kepada Clare Brown


SPRM tak puas hati bukti tentang bayaran RM1.4 juta belum lagi dijumpa

(Perak Today) – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki, tidak menolak kemungkinan memanggil Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung siasatan pembayaran wang RM1.4 juta kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Azam mengesahkan bahawa ada beberapa lagi individu yang akan dipanggil, namun enggan menyatakan secara spesifik tarikh Abdul Hadi akan dipanggil memberi keterangan.

“Cukup saya katakan yang siasatan masih dijalankan… SPRM tidak pernah umum kata kes ditutup.

“Akan ada individu lagi yang akan dipanggil untuk bantu siasatan… berkenaan memanggil presiden PAS itu kami tak tolak… berkemungkinanlah,” katanya seperti dilapor Bernama.

Azam juga berkata, sehingga hari ini sekurang-kurangnya 25 individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan kes berkenaan.

Rewcastle-Brown sebelum ini mengesahkan beliau menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah yang difailkan Abdul Hadi terhadapnya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menafikan membuat pembayaran berkenaan sama ada daripada pihak parti mahu pun dirinya sendiri.

 



Comments
Loading...