Raja Bahrin samakan Umno-PAS dengan pengganas New Zealand


Isham Jalil, Editor Malaysia

Beberapa ahli politik PH seperti Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Chew Chong Sin dan Rafizi Ramli seakan cuba menyamakan pengganas yang membunuh 50 orang Islam di masjid di Christchurch, New Zealand minggu lalu dengan penyokong UMNO dan PAS.

Seperti biasa ahli-ahli politik PH ini ingin mempolitikkan tragedi ini.

Timbalan Menteri PH Raja Bahrin telah menuduh ahli-ahli politik pembangkang memainkan sentimen perkauman dengan menggunakan frasa halal darah (pembunuhan kafir), kafir harbi, pendatang dan sebagainya ke atas orang-orang bukan Islam di Malaysia.

Beliau berkata, “Ada ahli politik tertentu pembangkang Malaysia begitu marah perbuatan kejam itu, namun, dalam masa yang sama mereka secara berterusan mengecam kaum serta agama minoriti di Malaysia.”

Sebelum itu ADUN DAP Chew Chong Sin menyatakan kebimbangan mengenai kerjasama UMNO-PAS dan mengaitkannya dengan tragedi di New Zealand tersebut.

Beliau berkata, “Persepakatan UMNO dan PAS serta minat mereka terhadap kaum dan agama adalah tidak bertanggungjawab sama sekali. Ia tidak memberi manfaat dalam pembinaan Malaysia baru yang boleh diambil kesempatan oleh kumpulan pengganas asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataannya, beliau juga menyatakan tentang pengganas asing daripada kumpulan militan Islam dari negara-negara Islam.

Rafizi Ramli pula berkata penyokong-penyokong UMNO dan PAS membawa fahaman perkauman, dan jika remaja yang membaling telur kepada seorang Senator Australia rasis itu ada di Malaysia, beliau akan dimaki oleh penyokong-penyokong UMNO dan PAS.

Rafizi seolah-seolah mencadangkan bahawa para penyokong UMNO dan PAS adalah sama seperti Senator Australia yang membuat kenyataan mengkeji orang-orang Islam tersebut.

Ada beberapa perkara asas yang jelas songsang dalam kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin PH ini, sama ada mereka sedar atau tidak:

Kepada ADUN DAP Chew Chong Sin, pengganas di masjid di New Zealand tersebut adalah bukan pengganas militan Islam namun sebaliknya adalah pengganas yang membenci dan telah membunuh orang-orang Islam kerana Islamofobia, atau kebencian dan ketakutan terhadap orang-orang Islam.

Dalam manifesto pengganas tersebut, ia menyatakan propaganda membenci orang-orang Islam dengan hujah seperti orang Islam adalah satu kaum yang ganas, kejam dan perkauman yang menghalalkan pembunuhan ke atas orang-orang kafir (halal darah).

Di serata dunia orang-orang Islam telah dibenci dan dikecam kerana propaganda ini yang telah luas tersebar selepas tragedi 9-11 di Amerika Syarikat.

Hujah-hujah pengganas pembunuh di New Zealand tersebut serta kenyataan rasis daripada seorang Senator di Australia yang menyusul adalah seakan sama seperti hujah Raja Bahrin dan Chew Chong Sin yang boleh membawa kebencian terhadap orang-orang Islam.

Mereka seolah-olah menuduh keganasan yang berlaku ke atas orang-orang Islam di New Zealand akibat kebencian terhadap umat Islam tersebut adalah salah orang Islam sendiri, dan bukannya salah pengganas yang membenci dan membunuh orang Islam tersebut.

Kepada Raja Bahrin, saya ingin bertanya:

Bilakah kali terakhir ahli politik atau pemimpin UMNO atau PAS mengatakan halal darah untuk membunuh orang-orang bukan Islam di Malaysia?

Dan bilakah kali terakhir ahli politik UMNO atau PAS menggunakan perkataan “pendatang” kepada orang-orang bukan Islam di Malaysia atau mengecam kaum atau agama minoriti?

Kenyataan Raja Bahrin dan Chew Chong Sin di atas adalah tidak bertanggungjawab serta suatu manipulasi yang boleh dianggap bertujuan untuk menghasut orang-orang bukan Islam untuk membenci orang-orang Islam terutama dalam UMNO dan PAS.

Propaganda yang sama ke atas orang Islam telah digunakan oleh pengganas ekstremis di New Zealand dalam manifestonya sebelum membunuh orang-orang Islam dalam masjid.

Pemimpin-pemimpin PH kerap memainkan propaganda kebencian sebegini dan menuduh BN dan PAS memainkan isu perkauman.

Namun sebenarnya, pemimpin-pemimpin PH lah yang memainkan sentimen perkauman dan kebencian terhadap orang-orang Melayu dan Islam di Malaysia dan dengan itu cuba menghalang penyatuan orang-orang Melayu dan Islam.

Ini kerana mereka (PH) ingin terus berkuasa di atas perpecahan orang-orang Melayu dan Islam. Ini niat jahat mereka.

Mengikut fakta, di pilihan raya-pilihan raya kecil terkini di Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru ini, tidak sekalipun ahli-ahli politik BN dan PAS berkempen atau berceramah dengan membawa isu perkauman seperti yang dituduh oleh ahli-ahli politik PH.

PH telah kalah teruk di kedua-dua pilihan raya ini bukanlah sebab kempen perkauman yang tidakpun dibawa oleh BN dan PAS, namun sebab kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji-janji mereka, kelemahan pentadbiran Kerajaan PH, kegawatan ekonomi, serta isu-isu melibatkan pemimipin-pemimpin PH seperti menipu sijil, rasuah, kronisme dan sebagainya.

Sebenarnya, yang membawa isu perkauman semasa berkempen adalah ahli-ahli politik PH, seperti calon DAP Cameron Highlands yang berkata orang Melayu tidak beli kuih orang Orang Asli, dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang berjanji kononnya ingin menjaga kepentingan orang-orang Melayu dan Bumiputera untuk menarik undi Melayu.

Keganasan dan pembunuhan yang berlaku di New Zealand tersebut adalah keganasan yang berlaku akibat kebencian dan propaganda yang dilakukan ke atas orang-orang Islam.

Propaganda kebencian terhadap orang-orang Islam ini tidak berlainan dengan hujah atau propaganda yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin PH seperti Raja Bahrin dan Chew Chong Sin ke atas orang-orang Islam dalam UMNO dan PAS.

Kepada Rafizi, saya rasa kalau budak telur itu ada di Malaysia, beliau akan baling telur kepada anda dan bukannya kepada penyokong UMNO dan PAS.

 



Comments
Loading...