PAS perlu jawab tuduhan terima RM90 juta dari Umno, kata Guan Eng


(FMT) – Palsu, fitnah dan bohong – itu penafian keras Lim Guan Eng terhadap dakwaan Pas ada komplot dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menyingkirkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan semalam berkata, parti itu memberi sokongan bertulis, menyokong Dr Mahathir kerana percaya “2 parti komponen Pakatan Harapan” mungkin merancang menyingkirkan perdana menteri.

Lim mencabar Takiyuddin untuk membukti dakwaan itu dan sebaliknya menuduh PAS sebagai dalang yang mahu menumbangkan Dr Mahathir.

“Saya ingin menegaskan PH secara keseluruhan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan perdana menteri, dan menolak sekeras-kerasnya sebarang andaian yang mengatakan sebaliknya,” kata setiausaha agung DAP itu.

“Tidak ada satu parti komponen PH ataupun mana-mana pemimpin PH yang menyatakan tidak sokong atau mahukan undi tidak percaya ke atas kepimpinan Dr Mahathir baik di dalam atau di luar mesyuarat majlis presiden PH,” kata Lim.

“Sebaliknya yang menentang kepimpinan Dr Mahathir tidak lain dan tidak bukan datang daripada PAS sendiri,” tegas Menteri Kewangan itu. Lim berkata jika Takiyuddin gagal membuktikan dakwaannya, beliau terbukti “tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah”.

Beliau berkata PAS patut menjawab isu pemimpin parti itu menerima sogokan RM90 juta daripada Umno dan tidak tabur fitnah terhadap PH.

 



Comments
Loading...