Lapan ketua bahagian Bersatu Perak desak Ahmad Faizal letak jawatan


(Utusan) – Lapan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini enggan menerima notis pembuburan bahagian masing-masing sambil mendesak Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan.

Ketua Bahagian Gerik, Ibrahim Hanafiah berkata, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar perlu meletak jawatan kerana gagal dan tidak mampu mentadbir urus parti berkenaan dengan baik sehingga menimbulkan pelbagai masalah di peringkat akar umbi.

Menurutnya, perkara paling ketara ialah pembubaran beberapa bahagian parti itu di negeri ini yang dikatakan tidak mengikut perlembagaan parti selain alasan pembubaran yang tidak benar.

“Setakat ini lapan ketua bahagian telah menerima notis pembubaran iaitu Beruas, Bagan Serai, Lenggong, Gerik, Teluk Intan, Tapah, Batu Gajah dan Larut.

“Lain-lain bahagian yang dijangka menerima notis pembubaran ialah Taiping, Bukit Gantang, Parit Buntar, Lumut, Kampung Gajah dan Tanjung Malim. Kami tidak menerima pembubaran ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Ketua Bahagian Bagan Serai, Abu Hasan Yusof; Ketua Bahagian Bukit Gantang, Datuk Shaharuddin Rashid dan Ketua Penerangan PPBM Kuala Kangsar, Amir Hashim Yot.

Menurut Ibrahim, alasan pembubaran bahagian-bahagian berkenaan antaranya jawatankuasa bahagian tidak lagi berfungsi, tidak aktif dan ahli-ahlinya tidak dapat dikesan adalah tidak benar.

Beliau berkata, keputusan pembubaran yang dibuat berdasarkan kesimpulan peribadi yang dibuat tanpa siasatan dan ia keputusan yang berat sebelah.

“Sebenarnya pihak yang tidak aktif ialah badan pimpinan negeri yang dipengerusikan oleh Ahmad Faizal kerana tidak mengadakan mesyuarat tahunan sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Bahagian kekurangan dana, nak sewa pejabat pun tak cukup. Kalau tak ada dana macam mana bahagian nak aktif. Kami rasa dipinggirkan di peringkat negeri,” katanya.

Menurutnya, semua ketua bahagian yang terlibat mahu berjumpa dengan pimpinan tertinggi parti dan membawa kes itu ke Lembaga Displin parti untuk tindakan selanjutnya.

“Pembubaran ini tidak sah kerana melanggar perlembagaan parti dan kami tidak diberi peluang untuk membela diri,” katanya.

 



Comments
Loading...