Kit Siang mengaku Anwar dan Hadi tidak sebulu


(FMT) – Lim Kit Siang meneruskan kritikan terhadap Datuk Seri Hadi Awang mengatakan DAP tidak mungkin terima beliau sebagai perdana menteri kerana sifatnya tidak seperti bekas presiden PAS, Datuk Fadzil Muhammad Noor atau bekas mursyidul am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lim menjawab kenyataan Hadi di Facebook hari ini mengatakan PAS tidak pernah mencalonkan atau menggelar dirinya perdana menteri menanti dan membidas andaian veteran DAP itu semalam.

Semalam, Lim mendakwa Hadi menerusi kepimpinan PAS mahu berbincang mengenai calon perdana menteri gabungan Pakatan Rakyat, kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak sesuai.

“Saya tidak tahu mengapa Anwar dan Hadi tidak sebulu, sedangkan Anwar dan Fadzil Noor atau Nik Aziz mempunyai hubungan yang baik,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

“Hadi mempunyai kecacatan sifat yang begitu serius sebagai pemimpin politik, tidak seperti Fadzil Noor atau Nik Aziz.”

“Ini sebabnya mengapa DAP boleh menerima Fadzil Noor dan Nik Aziz sebagai perdana menteri menanti, namun bukan Hadi.

“Ini adalah soal kepercayaan – pemimpin DAP boleh memperpercayai janji Fadzil Noor dan Nik Aziz tetapi bukan Hadi.”

Semalam, Lim berkata partinya dituduh anti-Islam dan anti-Melayu kerana enggan menyokong Hadi sebagai perdana menteri.

 



Comments
Loading...