Punca Agong dibenci dan dihina
Yang sebenarnya, mereka benci kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia.
NO HOLDS BARRED
Raja Petra Kamarudin
Raja-Raja Melayu lambang kedaulatan Melayu dan benteng kedudukan istimewa orang Melayu
Semenjak kebelakangan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bersama DYMM-DYMM Raja-Raja Melayu yang lain, sering dihentam, dihina, disoal, dan dipertikaikan. Tomahan dan fitnah disebar luas mengenai pendirian, kelakuan, dan perbelanjaan Tuanku-Tuanku yang bertujuan untuk menjejaskan maruah dan merendahkan martabat Raja-Raja Melayu.
Sebelum ini, memang perkara ini pernah berlaku, tetapi semenjak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pusat pada Mei 2018, perkara ini bertambah teruk sehingga kerajaan terpaksa mengumumkan penghinaan ini mesti dipantau.
Semenjak Mei 2018 sudah bermula Pesta Menghina Agong
Apa sebabnya tercetus pesta menghina Raja-Raja Melayu? Dan kenapa baru sekarang amalan ini menjadi-jadi di bawah kerajaan baru di dalam, kononnya, Malaysia Baru?
Raja-Raja Melayu ialah lambang kedaulatan dan benteng kedudukan istimewa orang Melayu yang tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna kedudukan istimewa orang Melayu terletak di tangan Raja-Raja Melayu. Jadi, sekiranya Raja-Raja Melayu dihina, maka orang Melayu juga turut dihina.
Hakikatnya, ada segolongan rakyat yang tidak boleh menerima kedudukan istimewa orang Melayu atau pun menerima Islam sebagai Agama Persekutuan (yang kadang-kadang dipanggil ‘agama rasmi’) atau menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia.
Warna kuning sudah bertukar dari ‘warna Diraja’ ke warna anti-Raja Melayu
Tetapi, selagi adanya Raja-Raja Melayu, tidak siapa boleh buat apa-apa terhadap perkara ini. Sebab itu mereka sangat benci terhadap Raja-Raja Melayu. Yang sebenarnya, mereka benci kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia.
Ini sama macam golongan orang Melayu yang benci terhadap orang Yahudi sebab mereka benci Israel. Memanglah kebanyakan rakyat Israel terdiri dari orang Yahudi, tetapi bukan semua orang Yahudi di dunia ini rakyat Israel. Rakyat Israel hanya ada lebih kurang enam juta orang tetapi di seluruh dunia ada lebih dari 14 juta orang Yahudi. Orang Yahudi di Amerika Syarikat hampir sama ramai dengan orang Yahudi di Israel.
Melayu Pakatan Harapan juga benci Raja-Raja Melayu
Yang anehnya ialah Malaysia bermusuh dengan Israel kerana orang Islam di sana ditindas tetapi tidak pula bermusuh dengan negara-negara seperti Cina atau Myanmar dimana orang Islam di sana juga teruk dizalimi. Dasar Malaysia tentang Israel adalah hanya untuk membodek negara-negara Arab supaya duit mereka disalurkan ke Malaysia. Yang sebenarnya, nawaitu Malaysia ialah ‘pitih’, bukan untuk mempertahankan orang Islam.
Isu ini adalah sama seperti ada yang benci Raja-Raja Melayu kerana mereka benci orang Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu. Tetapi ada orang Melayu juga yang benci Raja-Raja Melayu dan yang ingin institusi raja dihapuskan dan diganti dengan republik, atau pun republik yang berbentuk sekular. Ini yang kita panggil Melayu ‘moden’. Melayu moden ini berbeza dengan jenis Melayu ‘ketinggalan zaman’ macam Melayu dari Umno atau PAS. Dan kebanyakkan Melayu moden ini berada di dalam Pakatan Harapan.