Kementerian Pertahanan nafi menteri guna kenderaan rasmi untuk berkempen


(Berita Harian) – Kementerian Pertahanan menafikan gambar tular memaparkan menterinya, Mohamad Sabu menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedua-dua gambar yang tular berlaku pada hari dan tarikh yang berlainan.

“Gambar pertama yang memaparkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang berlatar belakangkan helikopter adalah lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highlands pada 9 Januari lalu.

“Beliau pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama selepas selesai lawatan berkenaan. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, lawatan rasmi itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, gambar kedua yang memaparkan beliau ke pusat penamaan calon PRK Cameron Highlands pada Sabtu lalu adalah menggunakan jalan darat dengan menaiki kenderaan persendirian dan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai proses berkenaan.

“Adalah jelas sekali bahawa kedua-dua gambar itu adalah pada hari dan tarikh yang berlainan.

“Kementerian Pertahanan meminta pihak tertentu memeriksa terlebih dahulu kesahihan maklumat sebelum menyebarkan perkara yang tidak benar,” katanya



Comments
Loading...