Mahathir tak pernah janji jadi PM hanya 2 tahun – Saifuddin
(Bernama) – Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Abdullah hari ini berkata tempoh Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.
Sebaliknya kata Menteri Luar itu PH cuma membuat keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat ke jawatan tersebut selepas Dr Mahathir.
“PH cuma mempunyai keputusan dan perjanjian bahawa selepas Tun M (Dr Mahathir), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perdana menteri seterusnya. Kita tidak bincangkan tempoh kerana mereka saling memahami.
“Mereka (Dr Mahathir dan Anwar) juga adalah tokoh besar yang seharusnya dapat menentukan waktu terbaik untuk peralihan kuasa dan sebagainya,” katanya ketika ditanya sama ada wujud perjanjian konkrit Dr Mahathir hanya menjadi perdana menteri selama dua tahun.
Saifuddin yang juga anggota parlimen Indera Mahkota ditemui pemberita selepas beramah mesra dan memberikan motivasi kepada pelajar Tingkatan Enam semester dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana, di Kuantan.
Isu peralihan kuasa itu kembali timbul selepas beberapa perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berbahas pada perhimpunan agung parti hujung minggu lalu mengusulkan agar Dr Mahathir dibenar berkhidmat satu penggal penuh.