Umno cadang jawatan ala PKR untuk Najib


(FMT) – Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam mencadangkan Datuk Seri Najib Razak diberi jawatan ketua umum Umno dan ketua pembangkang selepas Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas parti kepada timbalannya, semalam.

Beliau berkata pelantikan itu penting dan kena pada nasanya bagi memastikan kestabilan Umno.

“Memandangkan lebih daripada separuh ahli Umno yang telah mengundi Zahid sudah pasti tidak boleh menerima kepimpinan timbalan presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang sekalipun tidak pernah mempertahankan Presiden (Zahid) ketika beliau diserang oleh pihak yang mahu beliau bercuti,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, di tengah-tengah desakan dalam kalangan pemimpin Umno supaya Zahid meletakkan jawatan, Zahid mengumumkan beliau menyerahkan tugas-tugas presiden psrti itu kepada Mohamad.

Zahid memulakan kenyataan medianya semalam dengan berkata: “Umno wajib diselamatkan dari rebah” dan menambah parti Melayu itu boleh bangkit semula jika ahli bersatu padu.

Jawatan ketua umum diperkenalkan PKR. Ia dipegang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjadi presiden PKR.

Lokman berkata, dalam situasi kritikal begini, Umno perlu khidmat seorang pemimpin yang berpengalaman dan dihormati oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang belum keluar dan yang telah keluar parti.

“Saya mohon sokongan, pihak-pihak yang bersetuju dengan cadangan saya ini untuk membuat kenyataan yang sama seberapa segera yang boleh. Terima kasih,” katanya.

Sebelum itu, dalam kenyataan itu, Lokman berkata keputusan Zahid untuk bercuti dan menyerahkan tugas-tugas presiden Umno untuk dijalankan oleh Mohamad amat mendukacitakan.

Beliau mendakwa ini satu kemenangan besar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah berusaha sedaya-upaya, termasuk menggunakan pelbagai pihak dalam parti itu, untuk memberikan tekanan kepada Zahid agar bercuti sebagai presiden Umno bagi memastikan kekalahan Zahid dalam pemilihan Umno.

“Ahli Umno bukanlah sebodoh seperti yang Dr Mahathir sangka. Lagi banyak seseorang itu didakwa oleh musuh parti, lagi yakin kami kepada pemimpin-pemimpin kami itu.

“Zaman ‘Law of The Jungle’ ini, mereka yang bersalah selamat daripada sebarang bentuk hukuman, manakala mereka yang tidak bersalah dengan mudah dipalit dengan pendakwaan walaupun belum selesai siasatan,” katanya.

Beliau juga berkata, lebih menyedihkan, ramai pemimpin Umno yang bobrok membiarkan diri mereka dipergunakan oleh Dr Mahathir, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan perkataan “kita dakwa Zahid dahulu dan kita siasat kemudian”.

Zahid menghadapi 46 pertuduhan, iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, 27 pengubahan wang haram dan 8 pertuduhan rasuah.

SPRM juga dilapor sedang menyiasat aduan salah laku dalam pemilihan presiden Umno pada Jun lalu.

 



Comments
Loading...